HomeBeritaPenawar sindrom Down daripada ibu bapa

Penawar sindrom Down daripada ibu bapa

KUALA LUMPUR: Tiada ubat dapat menyembuhkan sindrom Down, tetapi ‘penawar’nya pasti ada daripada ibu bapa, penjaga dan masyarakat sekeliling yang boleh membantu memberikan sokongan melalui program intervensi awal bermula peringkat bayi.

Program intervensi awal untuk sindrom Down sebenarnya melibatkan perkembangan kemahiran motor kasar dan halus, membantu dalam skil oral-motor pemakanan, memudahkan kemahiran kendiri (makan, memakai pakaian, mendandan diri, membuang air kecil/besar sendiri dan lain-lain) dan mengembangkan potensi kemahiran bermain dan bersantai.

Ia direka khas untuk meningkatkan keupayaan kemajuan fizikal dan mental perlahan kanak-kanak berbanding kanak-kanak normal dan memberi kesan positif kepada mereka.

Penyelia Pendidikan dan Psikologi Persatuan Sindrom Down Malaysia, Nadirah Nasir berkata, program intervensi awal sebaiknya bermula dari bayi kerana memudahkan rangsangan perkembangan fizikal, mental dan emosi, sehingga mencapai potensi maksimum mereka dalam kehidupan.

Nadirah Nasir

“Golongan sindrom Down sebenarnya mereka lebih kepada sifat ‘attachment’ (mudah mendekati) walaupun dengan orang yang baru dikenali.

“Mereka sebenarnya normal, cuma kita perlu lebih ‘firm’ (tegas), kalau tidak kita akan ikut cara mereka. Sebab tu antara cara berkesan adalah apabila kita yang menguruskan mereka perlu sentiasa mengingatkan apa yang boleh dan tidak boleh sebab kadang-kadang mereka juga jenis manipulatif,” katanya.

Memberi contoh seorang kanak-kanak kacukan Iran dan Cina, Cyrus, 2 tahun, Nadirah berkata, Cyrus yang mengikuti program intervensi di pusat pertubuhan yang terletak di Jalan U Thant, di sini menunjukkan perkembangan yang sangat baik.

“Sejak bayi, Cyrus didedahkan program intervensi awal ini dan kita melihat kemahiran kognitif dan sosial dia, berkembang dengan positif berbanding mereka yang lambat mengikuti program ini.

“Cyrus malah lebih memahami bahasa Melayu berbanding bahasa ibunda ibu bapanya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Nadirah juga mendedahkan, kebanyakan keluarga yang menghantar anak-anak sindrom Down ke pusat berkenaan adalah dalam kalangan berstatus pegawai eksekutif, bergelar Datuk, dan tentera yang memerlukan khidmat bantuan profesional mereka.

Nadirah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia dan Ulang Tahun Pertama Restoran Roti By D’Tandoor di Off Jalan Ampang, di sini.

Majlis itu dianjurkan oleh Kumpulan Rangkaian Antarabangsa D’Tandoor dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) bagi meraikan golongan OKU, sindrom Down dan anak-anak yatim di restoran berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed hadir merasmikan majlis tersebut.

Turut hadir, Pengasas D’Tandoor, Datuk Abdul Malik Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali dan Ketua Pegawai Operasi GISB Holdings, Datuk Lokman Hakim Pfordten.

Abdul Malik

Sementara itu, Abdul Malik yang juga Pengerusi dan Penasihat Persatuan Usahawan OKU Malaysia, menyarankan kerajaan supaya lebih serius mengadakan kempen kesedaran mengenai kepentingan golongan OKU kerana menyifatkan sambutan tahun ini kurang menggalakkan.

“Saya rasa kerajaan boleh wujudkan jawatankuasa khas untuk menambah baik keutamaan golongan OKU khususnya sindrom Down.

“Kami sebagai pemain industri boleh duduk berbincang, membantu untuk mendapatkan penaja dan pekerjaan kepada golongan ini dan percaya, sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia,” katanya.

Author

Pilihan Editor