APABILA musibah banjir terburuk dalam sejarah melanda Terengganu, ini adalah ujian buat semua pemimpin negara untuk melihat sama ada mereka ‘walk the talk’ atau sebaliknya.
Ada yang ‘sengaja’ ambil cuti ketika rakyat bersabung nyawa, ada yang mencipta alasan dengan anggapan rakyat ini bodoh tidak tahu berfikir tetapi ada juga yang turun padang segera harung banjir bersama rakyat.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu pada 22 Disember memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 36,009 orang kepada 36,231 orang.
Di Kemaman sahaja, seramai 7,364 mangsa membabitkan 1,971 keluarga dipindahkan di 24 PPS.
Namun dalam situasi kritikal berkenaan apa yang mengejutkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil cuti ke luar negara bersama isterinya walaupun menyedari setiap hujung tahun musibah akan di negeri pimpinannya.
Pemimpin PAS itu memohon maaf selepas dikecam netizen khusus dari rakyatnya yang kecewa atas tindakan tidak prihatin rakyat berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan tindakan berbeza dan sepatutnya dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu.
Untuk rekod, sebelum ini Ahmad Zahid ada menyatakan tiga keutamaan untuk rakyat yang menjadi fokusnya adalah ‘food on the table, money in the pocket dan shelter’.
Keprihatinan Ahmad Zahid terhadap rakyat amat jelas menerusi penyaluran bantuan kecemasan yang diumumkan secara ‘spontan’ demi kepentingan rakyat.
Beliau juga sama-sama mengharungi banjir bersama sama rakyat demi merasai dan mengetahui apa yang dilalui dan diperlukan rakyat.
Berikut adalah rentetan keprihatinan beliau terhadap mangsa banjir di Terengganu.
Pada 20 Disember lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bergegas ke Terengganu sejurus selesai sidang Dewan Rakyat.
Beliau meminta bantuan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia melalui Menteri Pertahanan untuk selesaikan isu logistik bagi membantu mangsa banjir dan penghantaran barang keperluan ke lokasi.
Bantuan tersebut adalah untuk memobilisasikan aset-aset yang tidak terlibat dengan banjir untuk ditempatkan di kawasan yang sedang dilanda banjir seperti di kawasan Pantai Timur ini.
Pada 22 Disember, Ahmad Zahid juga mengarahkan agensi-agensi menyelamat untuk melaksanakan pemindahan awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdasarkan Amaran METMalaysia bagi mengelakkan kes-kes mangsa terperangkap di rumah berikutan kesukaran petugas untuk memasuki lokasi akibat terputus hubungan, air yang deras dan sebagainya.
Negeri Terengganu masih berada dalam kategori bahaya mengikut Amaran Hujan Berterusan MET Malaysia dan sebarang kemungkinan masih boleh berlaku.
Sebagaimana tiga fokus keutamaannya dalam memastikan rakyat dapat makanan dan perlindungan, Ahmad Zahid telah mengarahkan trak ATM yang membawa bekalan makanan dan keperluan asas digerakkan ke Terengganu pada 23 Disember.
Ia sebagai persediaan hadapi gelombang kedua banjir.
Beliau juga merancang koordinasi bersama Kementerian Kesihatan bagi pemantauan penyakit semasa banjir dan pascabanjir.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat itu juga dilaporkan berkata setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah di lapan daerah di Terengganu telah diminta supaya mengingatkan penduduk agar segera berpindah apabila diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kelab Putra Malaysia di bawah Biro Kebajikan UMNO telah menghantar tiga treler yang membawa bantuan makanan bernilai RM180,000 ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kemaman pada 23 Disember.
Beliau juga sebagai pemimpin nombor dua negara, malah menolak warna politik dengan tidak lupa mengajak semua pemimpin untuk menggembleng tenaga bersama-sama dengannya buang warna politik dalam membantu menyelesaikan isu bencana.
Anak kelahiran Perak ini pernah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama, Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri pada masa sama sebagai Menteri Dalam Negeri, Timbalan Menteri Pelancongan.
Rangkuman pembabitan Ahmad Zahid dalam membantu mangsa banjir ini membuktikan beliau adalah pemimpin yang ‘walk the talk’ dan pengalamannya di beberapa kementerian sebelum ini menjadikannya seorang yang teliti dalam semua strategi untuk membantu rakyat.
*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI