KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berjanji akan menggunakan masanya sebagai anggota Kabinet sebaik mungkin dan tidak akan mencampuradukkannya dengan peranan beliau sebagai Timbalan Presiden PKR.
Menerusi hantaran dalam Facebook, Rafizi berkata, beliau memahami bahawa perang media sosial masih panas dengan drama politik, namun tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk membaiki kehidupan rakyat.
“Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.
“Masa kami sendiri seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden parti. Masa untuk kita zahirkan perubahan budaya politik,” katanya.
Rafizi berkata keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk melaraskan dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara.
Bergerak ke hadapan, beliau turut berjanji tidak akan menggunakan satu sen pun duit dan masa kerajaan dalam menggerakkan kempen parti diwakilinya bagi menghadapi enam pilihan raya negeri yang akan dimulakan Januari ini.
“Kita akan berkempen seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR dan @ayuhMYmovement tanpa penglibatan satu sen duit dan masa kerajaan,” katanya.
Menurutnya, di luar waktu kerja, beliau tetap akan berdepan dengan pihak Perikatan Nasional (PN) dan menjawab isu yang diutarakan, selain menyelaraskan peranan aktivis dan pimpinan Kerajaan Perpaduan untuk turut sama memantau prestasi PN sebagai pembangkang. – BERNAMA