HomeBeritaKhairuddin Othman setuju ISA dikembalikan tetapi ditambah baik

Khairuddin Othman setuju ISA dikembalikan tetapi ditambah baik

SERI KEMBANGAN: EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman setuju jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dikembalikan semula bagi mengekang isu perkauman dan lain-lain yang menjejaskan keharmonian negara.

Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai peguam berkata, akta itu bagaimanapun perlu ditambah baik.

“Akta itu sebelum ini dibantah kerana penahanan tanpa bicara, jika tiga tahun tahan, tiga tahunlah tanpa bicara yang dianggap menafikan hak seseorang untuk mendapat pembelaan.

“Jika kembalikan ISA perlu perbicaraan yang adil di mahkamah khas.

“Kita perlu ada elemen kawalan yang boleh menggugat keselamatan negara, macam China dan Iran. Kita tak boleh biarkan (gugat), proses demokrasi sudah betul tetapi mesti terpimpin,” katanya.

Beliau sebelum itu mengesyorkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan mekanisme kawalan terhadap isu perkauman yang semakin membimbangkan dalam kalangan belia.

Pihaknya berpandangan serius dalam isu berkenaan kerana mendakwa kini menjadi budaya atau ‘trending’ yang tidak sewajarnya berlaku dalam masyarakat.

Beliau berkata, satu kerjasama menerusi kerajaan negeri dan kerajaan Pusat akan diadakan dalam masa terdekat, bagi terus mendekati anak muda dalam usaha menangani kebimbangan itu, susulan pelantikan baharu Menteri, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim di kementerian itu.

Beliau berkata golongan belia agak ‘fragile’ (lebih mudah menerima doktrin palsu) dan perlu ada usaha ‘brainwash’ semula agar budaya ini tidak melarat.

Beliau juga mendakwa, kebanyakan kempen ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, dipercayai merosakkan minda pemikiran anak muda sehingga terdorong untuk menyentuh isu perkauman.

Terdahulu, beliau meninjau program Mega Job Fair Selangor 2022, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang di sini.

Kira-kira 300 majikan menyediakan 300,000 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai sektor termasuk perkilangan, hospital, perhotelan, agensi kerajaan dan makanan dan minuman (F&B) di program berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras itu berkata, kerajaan negeri terus mengekalkan komitmen mempertahankan kadar pengangguran di bawah empat peratus (4%) dengan pelbagai program peluang pekerjaan.

“Usaha ini diterjemah melalui rekod data penurunan kadar pengangguran Selangor pada 3.2 peratus atau 119,700 orang pada suku ketiga 2022 berbanding 4.3 peratus atau 196,000 bagi tempoh sama pada 2020.

“Untuk mengekalkan momentum, kita akan terus adakan program Mega Job Fair ini kali kedua dan berharap dapat mengurangkan lagi kadar berkenaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor