PETALING JAYA: Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) menerima laporan mengenai beberapa pasukan cuba melantik ‘jurulatih boneka’ yang menyewakan lesen mereka kepada pihak ketiga, untuk musim depan.
B. Satiananthan, yang kembali menerajui PJBM apabila menang tanpa bertanding jawatan presiden persatuan itu hari ini berkata, pihaknya mengenal pasti satu pasukan Liga Super dan dua lagi yang beraksi untuk Liga M3, menawarkan jurulatih tempatan untuk beraksi sebagai boneka kepada orang lain.
Menurut peraturan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), lesen Pro A (Pro-Diploma AFC) diwajibkan untuk berkhidmat sebagai ketua jurulatih di peringkat teratas Liga Super, manakala hanya jurulatih tempatan dibenarkan melatih Liga M3, yang terletak di bawah bidang kuasa Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
“Kami menerima laporan untuk musim depan, bukan hanya AFL tetapi juga Liga Super. Kami mendapat berita bahawa seorang jurulatih yang tidak mempunyai lesen Pro mengendalikan pasukan dan mengundang beberapa pemegang lesen Pro tempatan untuk menjadi boneka mereka.
“Dalam M3, baru-baru ini kami mendengar bahawa mereka (pasukan) melantik jurulatih asing tetapi memerlukan jurulatih tempatan untuk menjadi boneka, manakala kerja-kerja dilakukan oleh jurulatih asing,” katanya kepada pemberita pada Kongres Tahunan PJBM di sini hari ini.
Justeru, Satiananthan menggesa semua jurulatih tempatan agar tidak menjadi boneka.
“Jadi, nasihat saya ialah elakkan memandang rendah kepada kebolehan diri kita sendiri,” katanya.
Awal tahun ini, terdapat laporan mengatakan kelab Liga M3 cuba melantik jurulatih tempatan untuk bertindak sebagai boneka kepada warga asing, yang dinamakan sebagai Pengarah Teknikal kelab itu.
Satiananthan yang juga bekas jurulatih Harimau Malaya berkata, walaupun PJBM mempunyai maklumat mengenai isu itu, persatuan tidak dapat mengambil tindakan terhadap pasukan terbabit.
“Biasanya pasukan akan dikendalikan oleh orang lain, seperti menamakan kesebelasan utama dan rejim latihan, tetapi semasa hari perlawanan, jurulatih boneka akan berada di bangku simpanan, mengikut arahan yang diberikan kepadanya. Saya boleh menyalahkan dua orang – pihak pengurusan dan jurulatih tempatan yang menjual lesennya,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, hanya jurulatih yang perlu menjalankan tugas kejurulatihan, manakala pengarah teknikal menumpukan kepada bahagian pembangunan.
“Ini melibatkan pengurusan kerana pengarah teknikal dan ketua jurulatih perlu ada tugas mereka masing-masing dan pengarah teknikal yang melibatkan diri dalam kejurulatihan adalah salah dari sudut etika,” katanya.
Sementara itu, berikut ialah senarai kepimpinan PJBM untuk penggal 2022-2026 yang dipilih pada kongres kali ini:
Presiden: B. Sathiananthan (menang tanpa bertanding)
Timbalan Presiden: Datuk Ong Kim Swee dan Razif Ismail
Naib Presiden: Datuk Richard Scully, ACP (B) Md Dali Wahid, Aminuddin Hussin dan Mohd Asri Ninggal (semua menang tanpa bertanding)
Exco: Rezal Zamri Yahya, Ishak Kunju, Sulaiman Hussin, S. Balachandran, Noor Zaidi Rohmat, Ridzuan Abu Shah, Ghani Malek dan Rashid Mamud
Exco (Wanita): Farhana Abdullah dan Siti Suhaila Mohd Johari (kedua-duanya menang tanpa bertanding)
– BERNAMA