JAKARTA: Seorang anggota polis terkorban manakala 10 lagi cedera akibat serangan pengebom bunuh diri di sebuah balai polis di ibu kota wilayah Jawa Barat pada awal Rabu.
Serangan dilaporkan berlaku di pintu masuk balai polis di Jalan Astana Anyar, Bandung.
Ketua Polis Jawa Barat, Suntana berkata, pengebom bunuh diri itu meluru masuk ke premis berkenaan sambil memegang senjata tajam sebelum insiden berlaku.
Mayat suspek berkecai, manakala seorang anggota polis disahkan meninggal dunia, katanya dalam satu kenyataan.
Polis bertindak mengepung kawasan berkenaan dan skuad bom menjumpai peranti kedua di kawasan berhampiran.
Ketua polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media berkata, pengebom bunuh diri itu dikenali sebagai Agus Sujatno, 34, dari Batu Nunggal, Bandung berdasarkan cap jarinya.
Dia dipenjarakan selama empat tahun kerana terlibat dalam serangan bom di bangunan perbandaran Bandung pada 2017 sebelum dibebaskan pada Oktober tahun lalu.
Dia dipercayai menjadi anggota pertubuhan militan Jemaah Anshorut Daulah Bandung, kata Sigit. – BERNAMA