ISTANBUL: Sepakan akrobatik Richarlison ketika menentang Serbia diundi sebagai gol terbaik Piala Dunia 2022, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan pada Jumaat.
Peminat memilih sepakan Richarlison sebagai yang terbaik dalam kalangan 10 pencalonan, termasuk jaringan Neymar menentang Croatia, gol Kylian Mbappe menentang Poland, dan jaringan Enzo Fernandez menentang Mexico, lapor Agensi Anadolu.
Penyerang berusia 25 tahun itu berjaya menjaringkan tiga gol dalam kejohanan Piala Dunia di Qatar yang menutup tirainya pada Ahad.
Richarlison menjaringkan dua gol dalam aksi pembukaan Kumpulan G menentang Serbia dan turut meledak gol pada pusingan 16 menentang Korea Selatan. – BERNAMA