BATANG KALI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini menemui empat petunjuk baharu yang berkemungkinan ada mayat tertimbus di lokasi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, penggunaan radar penembusan tanah (GPR) itu, sangat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengecilkan skop lokasi pencarian di semua sektor.
“GPR berjaya mengesan objek disyaki tubuh manusia di bawah tanah, dan setakat ini membantu kenal pasti 14 titik.
“Bagaimanapun, apabila penggalian dibuat pasukan tidak menemui sebarang badan mangsa. GPR tersebut mungkin telah kesan objek-objek lain di point tersebut. Namun, penggunaan GPR sangat membantu operasi SAR, dengan mengecilkan kawasan pencarian dalam sektor ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah berkata, tujuh kenderaan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di sini, pada Jumaat lepas telah direkod nombor plat pendaftaran bagi mengenal pasti pemiliknya.
Beliau berkata polis akan meneliti kesemua nombor plat berkenaan untuk melihat jika ia berkait dengan sembilan mangsa yang masih hilang.
“Saya akan semak dengan pemilik dan saudara mereka yang mempunyai kaitan dengan kereta-kereta yang terlibat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus pada hari ini menemui jalan buntu dan usaha mengesan mereka akan berterusan.
Norazam berkata, walaupun tiada pergerakan tanah di lokasi SAR dikesan setakat petang ini, pasukan pencarian diminta berwaspada dengan risiko tanah lembut, ekoran cuaca hujan yang menyebabkan adanya aliran air.
“Keselamatan pasukan menjadi keutamaan ketika ini. Dalam keadaan ini kita arahkan anggota untuk kurangkan pergerakan masing-masing dan hanya berada di lokasi yang disektorkan sahaja serta tidak buat sebarang pergerakan agresif.
“Ketika ini, sektor A adalah tempat paling berisiko kerana berada di kawasan cerun, manakala sektor B dan C berada di kedudukan hampir sama dan kurang pergerakan tanah di situ,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keadaan mayat yang ditemui, Norazam berkata kebanyakannya dalam keadaan hampir sempurna.
“Hampir kesemua 24 mayat yang ditemui berada dalam keadaan hampir sempurna, kira-kira 90 peratus,” katanya.
Walaupun pergerakan tanah sedikit membahayakan pasukan SAR, Norazam berkata, situasi itu memberikan kelebihan dalam membantu kerja pencarian.
“Kebanyakan mayat ditemui pada kedalaman satu hingga dua meter, dan disebabkan oleh pergerakan tanah, mangsa tertolak ke depan. Jadi, ia mudahkan untuk pasukan kesan mangsa dibantu penggunaan pengorek.
“Pada hari pertama dan kedua pengorek digunakan, pasukan berjaya mengeluarkan masing-masing lapan dan tiga mayat. Selebihnya, kedudukan mayat yang terkeluar dari timbunan tanah, sehingga memperlihatkan anggota badan memudahkan operasi pengesanan,” katanya.
Beliau berkata operasi dihentikan kira-kira sejam pada 4.30 petang tadi ekoran hujan dan bersambung semula pada 5.30 petang, namun operasi itu kembali ditangguhkan pada 8.15 malam tadi susulan hujan lebat.
Tinjauan Bernama setakat 9 malam ini di lokasi kejadian mendapati keadaan cuaca kembali hujan lebat dan akses telekomunikasi turut terjejas. – BERNAMA