PETALING JAYA: Kemajuan teknologi pembedahan dengan bantuan robotik telah menjadikan prosedur pembedahan yang dahulunya mencabar kini mudah, lebih selamat dan pantas untuk pesakit dan pakar bedah.
Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway terus menjadi pelopor dalam penjagaan perubatan termaju menggunakan teknologi robotik menerusi pemerolehan sistem pembedahan generasi keempat, Da Vinci Xi.
Pengurus Besar Perkhidmatan Pembedahan Invasif Minimum dan Pembedahan Robotik, Helen Ng Hoy Loon berkata, pusat perubatan itu berjaya melakukan lebih 1,000 pembedahan secara robotik dalam pelbagai bidang perubatan menggunakan teknologi termaju sejak pemerolehan sistem robotik pertama pada November 2016.
“Matlamatnya adalah meminimumkan hirisan ketika pembedahan. Kaedah utama ialah ‘lagi kurang hirisan, lebih bagus’, kurang trauma, kurang luka, kurang parut, kurang jangkitan, kurang kehilangan darah, kurang kesakitan dan tempoh tinggal di hospital lebih singkat.
“Kini kami mampu mengatasi kelemahan kaedah pembedahan konvensional seperti pembedahan laparoskopi terbuka dengan penglihatan berdefinisi tinggi tiga dimensi (3D) yang dipertingkat, peralatan EndoWrist dan pergerakan lancar,” katanya pada sambutan meraikan kejayaan pembedahan robotik pesakit ke-1,000 Pusat Perubatan Sunway dan pelancaran Da Vinci Xi di sini baru-baru ini.
Perunding Urologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Badrulhisham Bahadzor berkata, kemajuan dalam teknologi robotik kini membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan kompleks dengan hirisan secara minimum yang hanya memerlukan pembukaan kecil dilakukan atau ‘lubang kunci’ terhadap pesakit.
“Jika anda beralih kepada platform robotik, anda boleh menggunakannya untuk melakukan pergerakan rumit yang meniru pergerakan tangan kita atau pergerakan pergelangan tangan. Menerusi sistem pembedahan Da Vinci Xi, peralatan boleh dimasukkan ke dalam pesakit melalui pembukaan kecil dan ia membolehkan pakar bedah melihat bidang pembedahan dalam tiga dimensi,” katanya.
Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Tan Ee Ping berkata, sistem Da Vinci Xi sesuai untuk pakar bedah kerana ia membolehkan keterlihatan yang lebih baik dengan keupayaan fokus automatik serta ciri maklum balas sentuhan yang membolehkan pakar bedah ‘menyelami’ pembedahan yang mereka kendalikan meskipun melalui paparan sistem.
Beliau berkata, dengan ciri-ciri berkenaan, ia meningkatkan lagi ketepatan dalam pembedahan.
Sementara itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr A. Thangesweran berkata, pembedahan dengan bantuan robot turut mengurangkan risiko kesakitan dan trauma pascapembedahan.
“Ia tidak menyebabkan trauma dan kesakitan kepada pesakit. Apabila kita boleh lakukan pembedahan yang selamat dan efektif, mengapa perlu pembedahan konvensional? Bayangkan jika ia melibatkan wanita bekerja atau suri rumah, kita tidak mahu mereka terlantar lama dan mendapat parut.
“Dengan teknologi ini, saya pasti ia memiliki kelebihan besar berbanding kaedah konvensional dan saya percaya pesakit akhirnya akan gembira,” katanya.
Beliau turut berharap teknologi pembedahan robotik akan lebih banyak tersedia di fasiliti perubatan dan lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.
“Ramai doktor Malaysia kini berminat dengan teknologi ini kerana mereka sedar kebaikannya dan saya rasa doktor-doktor muda mempunyai kelebihan memandangkan mereka lebih biasa dengan teknologi. Kita (pengamal perubatan) patut bekerjasama untuk menerima pakai teknologi ini kerana banyak faedahnya kepada pesakit,” katanya.
Selain Da Vinci Xi, Pusat Perubatan Sunway di Sunway City turut mengendalikan beberapa sistem robotik lain seperti Mako SmartRobotics dan ROSA Knee System, yang digunakan dalam pembedahan penggantian lutut dan pinggul.
Teknologi robotik ini menghasilkan sinar-x dan modul 3D daripada imbasan tomografi berkomputer (CT) pada sendi terlibat, justeru membolehkan pakar bedah merancang proses pembedahan lebih awal.
Pembedahan robotik bukan sahaja membantu doktor melakukan prosedur perubatan dengan lebih selamat, malah pesakit mengakui bahawa ia adalah keputusan terbaik mereka.
Pesakit, R. Siva Rohini, 67, yang menjalani pembedahan membuang serviks dan uterus secara robotik kerana kanser berkata, beliau lebih yakin untuk menjalani pembedahan tersebut memandangkan risikonya lebih rendah, kehilangan darah minimum dan pemulihan yang lebih cepat.
“Pakar bedah telah menjelaskan bahawa ini adalah pilihan terbaik untuk saya. Saya tidak sangka, selepas pembedahan saya boleh terus berdiri seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, warga Australia, Malcolm Wayne Anderson, 67, yang menjalani pembedahan merawat kanser prostat berkata, beliau memilih kaedah pembedahan robotik berbanding rawatan radiasi memandangkan kanser tersebut belum merebak.
“Jika sudah merebak, saya akan memilih rawatan radiasi yang saya maklum akan berlarutan dan memenatkan,” katanya. – BERNAMA