HomeBeritaTelur ayam import tampung kekurangan bekalan tiba di KLIA

Telur ayam import tampung kekurangan bekalan tiba di KLIA

SEPANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mengumumkan bahawa bekalan telur ayam dari India telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

MAFS berkata dalam satu kenyataan, bekalan telur itu dibawa masuk untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi negara sejak beberapa bulan yang lalu.

Menurutnya, bekalan telur ayam itu dibenarkan masuk melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.

“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian ‘Hold, Test and Release’ (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus ‘Newcastle Disease’ dan ‘Avian Influenza’.

“Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara. Segala protokol dan tatacara ditetapkan kerajaan juga dipatuhi tanpa kompromi,” katanya.

Jelas MAFS, hasil ujian dilaksanakan MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport itu bebas daripada segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

MAFS bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran tersebut akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor