GELARAN ustaz dan ustazah seakan menjadi lesen sah kepada mana-mana individu berperwatakan kopiah atau serban di kepala bagi lelaki, manakala bertudung labuh bagi wanita, berjubah dan mengeluarkan doktrin palsu mengenai hujah atau hukum kepada sesuatu perkara.
Individu-individu yang memegang gelaran ustaz dan ustazah tetapi tidak diketahui latar belakang pendidikannya sesuka hati mengeluarkan fatwa dan kenyataan yang tidak benar.
Lebih aneh, mungkin kerana mereka berkopiah, bertudung labuh dan berjubah, kita tidak pernah dengar golongan ini didakwa jabatan agama kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak benar sehingga boleh mengelirukan umat Islam.
Apabila sudah terkenal dan seolah sukakan kontroversi, semua perkara termasuk isu remeh dijadikan halal haram seperti ‘modal pasar’ yang tidak mendapat pengesahan rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.
Kononnya lebih dekat dengan hati masyarakat, golongan ini tidak berkecuali digelar sebagai penceramah bebas, dalam erti kata lain tiada latarbelakang agama.
Anehnya, gelaran itu begitu ‘murah’ dan mudah ‘lekat’ pada pandangan masyarakat sehingga tiada siapa mempersoalkan maksud sebenar dan intipati penyampaian yang dilontarkan golongan ini.
Ustaz adalah perkataan bahasa Arab yang mempunyai maksud di dalam bahasa Melayu iaitu tuan atau guru.
Seperti yang diketahui, jika di sekolah kebangsaan, guru itu dipanggil cikgu dan jika di sekolah agama ia dipanggil ustaz bagi lelaki dan ustazah bagi perempuan.
Berbalik pada isu gelaran, sudah tentunya, golongan ini mempunyai pengikut dan pentaksub masing-masing yang menjadikan mereka sebagai ‘role model’ hanya kerana pandai membuka kata berkait dengan agama walau sekecil isu.
Malah, di sinilah bermula ‘penyakit’ dan menjadi virus menular dalam kalangan masyarakat khususnya warga netizen akibat ustaz dan ustazah jadian ini.
Kenapa jadian? Kerana begitu mudah menerima gelaran itu berbanding mereka yang bertungkus-lumus menghabiskan ribuan ringgit demi meraih segulung ijazah dan tauliah dalam bidang agama untuk bergelar pendidik.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga apabila sebenarnya golongan ini yang merosakkan gelaran kerana dipercayai terbabit dengan kes penderaan dan seksual.
Lebih aneh lagi apabila gelaran itu dipegang oleh mereka yang ‘bergraduasi’ daripada rancangan realiti agama di kaca televisyen (TV), atau lebih mudah dikenali sebagai ‘ustaz selebriti’ dan terlibat dalam kes sama.
Ada yang mendakwa kes penderaan seks terhadap kanak-kanak masih tinggi, keganasan rumahtangga, sumbang mahram, hubungan sejenis terus meningkat. Tapi kita sibuk buat rancangan realiti TV keagamaan untuk calon-calon yang tak berkualiti.
Mengambil contoh berita yang dilaporkan, penceramah bebas bergelar ustaz terlibat dalam pertuduhan seksual termasuk rogol remaja bawah umur; ‘Ustaz Budak’ dituduh mencabul lelaki di sebuah hotel; seorang ustaz menyebabkan kecederaan seorang murid lelaki berusia 11 tahun; selain bergelar dai’e, imam muda (IM) dan pencetus ummah (PU) turut terlibat dalam kes yang menyamai ustaz di atas.
Begitu juga seorang pendakwah bebas juga bergelar ustazah, didakwa tidak belajar agama tetapi mengeluarkan kenyataan mengelirukan masyarakat dalam negara antaranya suami seorang dayus jika benarkan doktor lelaki urus isteri bersalin, tidak cukup dengan itu, wanita ini mendakwa ubat tahan sakit adalah haram diambil, seterusnya mengecop penghidap diabetes sebagai memakan dari sumber haram.
Agak mengejutkan juga pada 2019, terdapat individu yang membuat petisyen dalam talian ‘Tarik Balik Panggilan Da’ie, PU, IM & Ustaz Untuk Si Penunggang Agama – Panggil Encik Saja” supaya gelaran itu dibatalkan.
Ini kerana, gelaran pada mereka tidak seiring dengan akhlak masing-masing dan sepatutnya ia perlu dikawal bagi mengelak masyarakat terus keliru.
Bagaimanapun, ia seperti dipandang sepi dan tiada sebarang tindakan balas mengenai petisyen itu.
Tinjauan di media sosial mendapati, netizen menyeru kerajaan supaya kerajaan mengkaji pengiktirafan gelaran ustaz dan ustazah khususnya lahir dari program TV, kerana kebanyakan bertujuan meraih populariti, memikat wanita, menjana pendapatan, dan salah guna agama.
Ada juga yang berpendapat mereka yang bersongkok sepanjang masa di kepala mudah diiktiraf ustaz, sedangkan tiada kelayakan dalam rujukan agama.
Pendakwah dan penceramah terkenal, Ustaz Elyas Ismail juga tampil memberi pencerahan dan fatwa mengarut yang dikeluarkan oleh para ustaz dan ustazah tular kebelakangan ini.
Beliau mengingatkan agar sentiasa berhati-hati sewaktu mencari guru dan menasihatkan agar mencari guru yang sebenar-benarnya.
“Kadang-kadang, kita sukar untuk membezakan yang mana kaca dan yang mana permata. Emas itu kuning tetapi bukan semua yang kuning itu adalah emas,” katanya.
Gelaran ustaz dan ulama dibimbangi menyebabkan masyarakat akan terkeliru dan menyangka fakta yang salah itu benar kerana gelaran berkenaan.
Tokoh besar dunia pun takut untuk memanggil diri mereka ulama.
Di Malaysia, dengan mudah wujud istilah ini digunakan.
Gelaran ini sebenarnya diberi berpunca dari orang ramai pantang tengok orang pandai rawat terus dipanggil ustaz, ustazah, pandai bercakap, beri ceramah sikit, dakwah sikit terus ustaz, daie, PU dan sebagainya.
Jadi hentikanlah segala program televisyen dan ‘pengiktirafan’ gelaran semurah itu, ia tidak menjadikan negara kita lebih baik bahkan mencemar imej dan menghina Islam apabila ustaz, ustazah ini melakukan kemungkaran, kemaksiatan, fitnah dan lain-lain bertentangan Islam.
*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian MEDIA VARIASI