HomeBerita8.7 juta rakyat Malaysia bakal terima Sumbangan Tunai Rahmah mulai esok

8.7 juta rakyat Malaysia bakal terima Sumbangan Tunai Rahmah mulai esok

CYBERJAYA: Seramai 8.7 juta warga Malaysia dalam kalangan B40 bakal menerima bantuan kewangan tunai di bawah Kementerian Kewangan (MOF) mulai esok, 17 Januari 2023.

Bantuan kewangan yang dijenamakan semula kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) itu akan memasuki fasa pertama bantuan dengan peruntukan RM1.67 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan STR yang pada awalnya dijadualkan pemberian Mac depan kini diawalkan bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

Tambah beliau, seramai 4 juta isi rumah akan menerima RM300 manakala 1.2 juta warga emas tiada pasangan dan 3.5 juta individu bujang masing-masing akan menerima RM100.

“Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama.

“Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 Januari 2023.

“Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari 2023,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Untuk makluman, STR akan mula dikreditkan ke dalam akaun bank penerima bermula esok dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my

 

Author

Pilihan Editor