HomeHiburanAR Rahman hargai peminat Malaysia ambil lagunya untuk TikTok

AR Rahman hargai peminat Malaysia ambil lagunya untuk TikTok

PETALING JAYA : Ikon muzik antarabangsa, AR Rahman menzahirkan keterujaannya melihat peminat di Malaysia menggunakan lagunya sebagai muzik latar di TikTok.

Antara lagunya yang kerap kali digunakan di TikTok ialah Jai Ho, Mustafaa Mustafaa, Chaiyya Chaiyya dan Rang De Basanti.

Beliau berharap dapat menghiburkan orang ramai menerusi konsert terbesar yang akan diadakan tidak lama lagi khususnya buat para peminat di Malaysia yang sentiasa memberi sokongan terhadapnya sejak awal lagi.

“Saya dan isteri rasa teruja melihat sokongan dan sambutan peminat di Malaysia, kami sangat hargainya.

“Konsert ini adalah sebagai tanda penghargaan buat peminat di Malaysia,” katanya pada program Press Meet ketika bertemu peminat tegar, di pusat beli belah KL Gateway, di sini, baru -baru ini.

AR Rahman (tengah) ketika majlis pertemuan bersama media di KL Gateway pada Jumaat.

Terdahulu, Pengasas DMY Creation Sdn Bhd (DMY), Datuk Mohamed Yusoff menjangkakan sekurang-kurangnya 60,000 pengunjung akan hadir ke konsert AR Rahman Secret of Success yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada 28 Januari 2023.

Anjuran konsert berkenaan sekali gus bakal merancakkan industri pelancongan dan ekonomi negara.

“Kita juga telah merangka pelbagai aktiviti untuk pelancaran konsert yang kita akan adakan dengan kehadiran Ar Rahman sendiri nanti, kita akan gunakan semua platform yang ada terutamanya media sosial selain gimik lain seperti payung terjun membawa benderà Malaysia terbesar,” katanya.

Katanya, pelbagai kejutan akan dipamerkan sepanjang program berlangsung ditambah pula dengan acara motor kuasa tinggi Ducati dari Kuala Lumpur ke Melaka dan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Pada masa sama, akan turut diadakan himpunan kereta mewah Lamborghini.

“Lebih menarik apabila konsert ini akan dipromosikan di Burj Khalifa selama tiga minit di bangunan tertinggi dunia itu, pastinya dengan membawa nama Malaysia sekali,” katanya.

Justeru, orang ramai kini boleh menempah tiket di laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan tawaran harga antara RM88 hingga RM688 (tempahan terawal).

Untuk rekod, AR Rahman sebelum ini pernah merangkul beberapa anugerah antarabangsa termasuk Oscar, Grammy, Golden Globe, BAFTA dan banyak lagi pengiktirafan berprestij dunia.

Author

Pilihan Editor