HomeBeritaBekas wartawan BH bawa pulang RM50,000 BSN SSP

Bekas wartawan BH bawa pulang RM50,000 BSN SSP

SETIAWANGSA: Bekas wartawan Berita Harian (BH) hari ini membawa pulang hadiah RM50,000 sempena Cabutan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) di Karnival BSN SSP, pusat beli belah AEON AU2, di sini.

Jamudin Idris, 65, menerima hadiah itu bagi kategori Cabutan Kesetiaan Hadiah Pertama BSN SSP September 2022.

Jamudin berkata, hadiah itu sempena atas kesetiaannya sebagai pemegang akaun BSN SSP sejak lapan tahun lalu dengan modal permulaan pertama sebanyak RM200.

“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan dengan akaun BSN SSP, tetapi disyorkan pegawai bank untuk menambah lebih simpanan, tahun lalu.

“Selepas enam bulan, saya dapat panggilan hadiah ini atas kesetiaan saya dengan BSN SSP,” katanya yang membawa pulang cek berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MEDIA VARIASI pada karnival itu.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil.

Selain Jamudin, pembantu dapur muda, Wan Nur Qurratuain Wan Ishamuddin, 19, dan juruwang, Khaireen Yasmeen Kamaruzaman, 20, masing-masing memenangi Cabutan Istimewa Hadiah Utama BSN SSP Februari 2022 bernilai RM1juta dan Cabutan Negeri Hadiah Pertama BSN SSP November 2022, Perodua Myvi 1.5 Auto.

Wan Nur Qurratuain muncul sebagai jutawan muda pada usia 18 tahun, tahun lalu selepas membuka akaun BSN SSP dengan modal RM30,000, pada usia 16 tahun.

Gadis itu juga pernah memenangi Cabutan Penyimpan Muda Hadiah Ketiga BSN SSP Mac 2022 berjumlah RM500.

Wan Nur Qurratuain berkata, sebahagian daripada hadiah itu sudah digunakan untuk pelaburan hartanah rumah selain merancang merealisasikan impian arwah ibunya yang meninggal dunia akibat penyakit Hepatitis B, untuk menunaikan umrah bersama keluarga.

“Saya menyarankan kepada anak muda masa kini supaya menyimpanlah dengan BSN terutama SSP kerana peluang sangat cerah untuk menang banyak hadiah yang ditawarkan,” katanya yang bercita-cita menjadi polis.

Sementara itu, Khaireen Yasmeen berkata, dia menyimpan RM5,000 di BSN SSP sebelum ini dan menyifatkan ia rezeki dari Tuhan selepas pulang dari umrah.

“Perancangan saya untuk mendapatkan lesen kereta terlebih dahulu sebelum menggunakan kereta ini berulang-alik ke tempat pengajiannya,” katanya yang akan menyambung pengajian Politeknik Sultan Abdul Halim Shah (Polimas), Jitra di Kedah.

BSN kali ini memperkenalkan pelbagai kategori cabutan dan hadiah menarik bagi tahun 2023, termasuk Cabutan Wilayah, Cabutan Penyimpan Muda, Cabutan Kesetiaan, Cabutan Penyimpan Baharu, Cabutan Guru, Cabutan Akaun Gaji, Cabutan Kasih, Cabutan Simpanan Konsisten.

Hadiah yang ditawarkan antaranya kereta mewah BMW X5, BMW 320i M Sport, Perodua Myvi dan banyak lagi, dengan nilai keseluruhan RM27juta kepada 18,000 pemenang.

Author

Pilihan Editor