KUALA LUMPUR: Isu taraf kerakyatan negara sentiasa menjadi polemik masyarakat apatah lagi, apabila melibatkan status anak tanpa berbinkan nama bapa sendiri.
Lebih sukar, berbinti atau binkan Abdullah atau 99 nama Allah, meninggalkan stigma negatif di fikiran rakyat yang menganggap mereka anak tak sah taraf.
Sedangkan ada yang dilahirkan beribu bapa yang sudah berkahwin namun kerana tidak ikut prosedur betul, tiada dokumen tetapi anak pula menjadi mangsa.
Melalui satu perkongsian di Tiktok, seorang wanita, Iffah Nur Dini mendedahkan sijil lahir bayinya gagal didaftarkan kepada nama bapa kandung anaknya itu, hanya kerana dokumen tidak lengkap iaitu tiada kad pengenalan suami.
Wanita itu pasrah dengan kejadian menimpa bayinya, Adlee Mustaqim yang dilahirkan pada 12 Disember 2021 tidak boleh dibinkan dengan nama bapanya berikutan suami, Aidie Fitri, 27, berjauhan atas urusan kerja.
Mengimbas semula melalui perkongsian di media sosial itu, Iffah Nur Dini memaklumkan, suami berada di sisinya selama tempoh lapan bulan pertama.
“Namun ketika tempoh tinggal lagi sebulan nak bersalin, suami dapat panggilan untuk rekrut polis.
“Jadi dia tak ada waktu saya bersalin.
“Saya dimaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak membenarkan ibu bapa lewat mendaftar nama anak. Jika tidak akan didenda. Saya tak nak banyak masalah, saya daftar sijil lahir anak tanpa kad pengenalan ayahnya.
“Disebabkan tak dapat berikan kad pengenalan asal suami, JPN minta saya guna salah satu daripada 99 nama Allah. Bahagian maklumat bapa kepada anak saya terpaksa dikosongkan,” kongsinya.
Disebabkan hal itu, katanya, bayinya terpaksa menggunakan nama sementara iaitu Adlee Khairul Mustaqim Abdul Rahman.
Iffah memaklumkan, suaminya melapor diri di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur, pada 7 November 2021, kira-kira lima hari sebelum bayinya lahir.
Bagaimanapun, katanya, suaminya hanya mengetahui tentang kelahiran anak pertama mereka selepas sebahagian urusan kerja suaminya di Pulapol itu selesai.
Itu pun selepas wanita berkenaan terpaksa ke balai polis untuk membuat laporan bagi memberi khabar gembira itu kepada suaminya.
“Masa saya dah dekat hospital nak bersalin memang suami tak tahu apa-apa langsung. Dekat Pulapol memang tak boleh pakai telefon jadi saya kena buat report di balai polis sahaja untuk sampaikan berita saya sudah beranak.
“Sepatutnya dia dapat balik tapi masa tu SOP masih ketat jadi dia tak dibenarkan pulang. Jadinya ‘perjumpaan’ kali pertama hanyalah melalui panggilan video saja.
“Selepas suami habis rekrut dalam tempoh lima bulan, barulah dapat berjumpa secara berdepan dekat Pulapol. Kami pun sama-sama selesaikan segala urusan sijil lahir anak sama-sama dengan berikan segala bukti dokumen dekat JPN,” maklumnya.
Selepas kira-kira sebulan menunggu keputusan JPN, urusan menukarkan nama bin suaminya bagi nama permata sulung mereka berjaya didaftarkan secara sah.
Iffah Nur Dini kini sudah berumah tangga hampir dua tahun, dan menetap di Kelantan bersama suami dan anaknya.
Perkongsiannya di TikTok itu meraih perhatian apabila jumlah tontonan video mencecah lebih satu juta ulang tayang.
Warganet turut meninggalkan pelbagai reaksi, bersimpati nasib Iffah, anaknya, dan keluarganya malah ada juga yang turut mengalami situasi sama dikongsikan di ruangan komen.
“Sekarang punya undang-undang macam ni. Selagi tak ada kad pengenalan asal ayah memang tak boleh masukkan maklumat bapa”
“Aduh, harap JPN buat peraturan baharu. Kalau bapa pergi rekrut, bertugas luar Malaysia… ada surat pengesahan pun dah okey”
Pendapat netizen ada kalanya, boleh membantu pihak JPN menambahbaik pengurusan pendaftaran seperti kes yang berlaku oleh Iffah Nur Dini.
Bagaimana jika, bapa bayi itu meninggal dunia ketika berkhidmat dan ruangan maklumat sijil kelahiran bayi berkenaan akan terus kosong dan meninggalkan stigma negatif kepadanya.
Sama ada surat pengesahan bapa atau sijil nikah pasangan sepatutnya membantu memudahkan pengurusan pendaftaran kelahiran di JPN.
MEDIA VARIASI sebelum ini secara eksklusif melaporkan, pelakon dan personaliti TV, Daphne Iking, menggesa kerajaan memperhalusi semula ruang penambahbaikan untuk rakyat yang benar-benar boleh mendapatkan hak kerakyatan.
“Isu ini dekat di hati saya, ramai yang stateless, sepatutnya mereka sudah ada dokumen warganegara tapi ada yang belum dapat, saya pun tak faham kenapa sedangkan mereka dilahirkan di tanah air sendiri,” katanya.