HomeBeritaJakel beri jaminan bayar gaji 200 pekerja tanpa potongan

Jakel beri jaminan bayar gaji 200 pekerja tanpa potongan

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Jakel Malaysia Holdings, Datuk Mohamed Nizam Mohamed memberi jaminan terhadap isu pembayaran gaji pekerjanya di cawangan Shah Alam.

Menurutnya, pihak Jakel akan memastikan 200 pekerja di cawangan berkenaan mendapat  bayaran gaji penuh tanpa sebarang pemotongan.

“Kita tetap bayar walaupun kerugian beratus juta.

“Allah sudah takdirkan sedemikian, kita kena cari pilihan untuk teruskan perniagaan.

“Ada 500 staf yang kite tempatkan ke Jakel Kuala Lumpur, Bangi, Cheras, ” katanya pada sidang media di Jakel cawangan Shah Alam, hari ini.

Pada Ahad, gedung tekstil terkemuka yang mempunyai lot kedai tiga tingkat itu dilaporkan terbabit dalam kebakaran yang memusnahkan bahagian dalam bangunan itu.

Susulan kejadian, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor  menggerakkan Unit Anjing Pengesan K9 menjalankan kerja-kerja forensik dalam mengenal pasti punca sebenar insiden kebakaran di Wisma Jakel, Seksyen 7, Shah Alam.

Dalam pada itu, Mohamed Nizam berkata, pekerja mungkin ditempatkan di beberapa lokasi sementara menjelang musim Hari Raya.

“Esok mesyuarat untuk kita ambil tindakan yang paling wajar ketika ini.

“Terima kasih kepada anggota bomba, polis, jabatan terlibat beri kerjasama.

“Kerugian dalam RM100 juta, kain jenis sutera, poliester, cotton mudah cepat terbakar dan merebak apinya,” katanya.

Author

Pilihan Editor