BANGI: Bermula daripada Idola Kecil ketika usianya baru 12 tahun, kini Faysal Saad sudah berjaya mengeluarkan single berjudul Saksi untuk peminat muzik tanah air.
‘Saksi’ lahir dengan kerjasama Wamo NSG Enterprise, membawa tema kehilangan yang boleh difahamkan mengikut terjemahan masing-masing.
Uniknya anak muda berusia 25 tahun ini, dia bukan sekadar berbakat dalam nyanyian malah seorang penghibur yang memiliki masa depan cerah.
Daripada Idola Kecil musim kedua prelude, juara Impress Your Idol 2020, Mikrofon Impian Season 2, juara Karaoke Superstar Astro Ria dan All Together Now Malaysia, kini Faysal mula melebarkan sayap seninya menerusi Saksi.
Lincahnya di atas pentas membawa penulis ke tahun 80-an iaitu era kegemilangan Allahyarham Sudirman yang versatil, pandai menari sambil menghiburkan setiap hati yang sedang melihatnya.
Kerana minatnya yang mendalam dalam nyanyian, hampir semua uji bakat diredahnya sejak kecil sehinggalah munculnya TikTok dan Instagram yang menjadi platform untuknya lebih dikenali.
Faysal berkata, media sosial banyak membantu mengetengahkan bakatnya dan lagu Saksi diharap dapat diterima ramai.
“Keunikan lirik dan lagu irama balada walaupun asalnya digubah untuk mereka yang kehilangan pasangan akibat COVID-19, namun sebenarnya ia mengenai perasaan terhadap sebuah kehilangan.
“Setiap orang ada kisah atau memori kehilangan masing-masing.
“Tidak kiralah kehilangan isteri, kerja, anak, kawan dan apa-apa sahaja yang menjadi kenangan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Single Pertama Faysal Saad Saksi di Mega Glory Hall Bandar Baru Bangi.
Tambah Faysal, jadual seninya termasuk pementasan teater dan mempromosi single Saksi, padat sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Perancangan terdekat adalah berkolaborasi dengan seorang artis legenda yang baru-baru ini ada menyatakan hasrat itu setelah melihat bakat saya.
“Saya berharap semua berjalan dengan baik, saya juga hargai sokongan keluarga dan rakan yang tidak jemu memberi nasihat yang baik.
“Saya juga mahu mengelakkan cerita negatif sebaliknya mencipta kontroversi yang baik untuk diperkatakan orang ramai,” katanya.