KEHADIRAN ‘sindiket pengemis’ ketika orang ramai sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat sebagai satu gangguan awam yang menimbulkan ketidakselesaan suasana.
Ada yang datang membawa tisu, buku, pen, jam tangan, minyak wangi, makanan ringan, ada yang kurang upaya (OKU) seperti buta ditemani ‘jurupandu’, ada yang tidak membawa apa-apa kecuali sekeping nota mendakwa dirinya OKU dan mohon bantuan.
Sebagai rakyat marhaen yang pernah melalui naik turun kehidupan, tahu kesusahan itu bagaimana rasanya tetapi mengemis dan meminta sedekah satu amalan yang tidak digalakkan dalam mana-mana agama.
Ini kerana selagi ada kudrat di kandung badan, pelbagai perkara boleh dilakukan seperti menjadi jurujual ‘dropship’ walaupun modalnya ‘sifar’.
Bagaimanapun ‘mengganggu’ orang ramai yang sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat tidak manis dan melanggar adab.
MEDIA VARIASI ketika berada di sebuah restoran di Bangi, didatangi sindiket ini iaitu seorang wanita usia antara 50 ke 60 tahun membawa buku.
Dia mahu menjual buku itu tetapi caranya menerjah ketika penulis dan rakan sedang makan ia perbuatan tidak sopan.
Katanya dia cuma mengambil buku dari seorang bos yang membekalkan buku-buku itu.
Wanita itu datang bersama rakannya.
Kebanyakan mereka datang berpasangan dan dikatakan memiliki rangkaian besar khususnya di Lembah Klang.
Kenapa kegiatan ini masih berleluasa? Kerana tiada pemantauan dan penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan serta tiada akta mencegahnya.
Negara telah mengalami pelbagai transformasi pembangunan dan isu ini sewajarnya tidak wujud lagi.
Penulis tidak jumpa situasi ini (pengemis datang dari meja ke meja) meminta sedekah di Thailand atau Indonesia, kawalan perlu dilakukan demi kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat kita lagipun mereka semua warga asing!
IKUTI SIRI KEDUA SINDIKET PENGEMIS BERLELUASA DI MEDIA VARIASI