HomeBeritaKPM akan jumpa ibu bapa pemain ditampar jurulatih 

KPM akan jumpa ibu bapa pemain ditampar jurulatih 

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan satu perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain pasukan bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih mereka.

Perjumpaan itu diadakan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insiden berkenaan.

Menurut KPM, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ada laporan polis dibuat.

“Pada masa yang sama, KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan,” maklum KPM dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki yang dipercayai jurulatih pasukan bola tampar wanita menampar dua pemain pasukan itu.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dalam kenyataan melaporkan, jurulatih itu telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

MAVA melaporkan pihaknya juga telah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian dengan serta-merta, dan akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan itu.

Author

Pilihan Editor