KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli Bersatu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas, akan merujuk perkara itu ke mahkamah.
Beliau mendakwa keputusan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dibuat berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan parti Bersatu, namun menurutnya, Johari bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti, justeru terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.
Menurutnya dalam surat bertarikh 16 Januari lepas, Johari memberi alasan dengan mentafsir fasal itu, empat Ahli Parlimen berkenaan menjadi ahli langsung GRS pada 27 Oktober 2022, dan mendapati keahlian mereka dalam Bersatu gugur serta-merta pada waktu berkenaan, sebelum mereka bertanding dalam PRU15 pada 19 November 2022.
“Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain.
“Namun, fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Parlimen berkenaan kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti ini adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu. Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan intipati Fasal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Muhyiddin berkata surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan empat Ahli Parlimen berkenaan adalah calon GRS daripada Bersatu.
Beliau berkata, penyertaan empat Ahli Parlimen itu sebagai ahli langsung GRS tidak menjejaskan keahlian mereka dalam Bersatu ketika bertanding pada PRU15 lepas dan surat berkenaan telah diserahkan kepada Johari untuk membantu membuat keputusan.
“Jika pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Fasal 27 memperuntukkan kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
“Maka dalam hal ini, hanya MPT Bersatu boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah gugur keahlian mereka serta-merta apabila mereka menyertai GRS,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Muhyiddin berkata, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember dan tindakan menyeberang lantai (crossing the floor) empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Dis.
Beliau berkata kedua-dua keputusan itu mengakibatkan keguguran keahlian mereka dalam Bersatu di bawah Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti selepas PRU15.
“Adalah jelas Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat tafsiran khilaf berkenaan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan dan memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka Bersatu akan merujuk perkara itu ke mahkamah,” katanya. – BERNAMA