HomeBeritaIsu bakar Quran: PAS gesa PM panggil wakil Kedutaan Sweden bertemu di...

Isu bakar Quran: PAS gesa PM panggil wakil Kedutaan Sweden bertemu di pejabat

KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan Malaysia bertindak memanggil wakil Kedutaan Sweden untuk datang bertemu dengan Perdana Menteri: Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya.

Perkara itu dinyatakan pemimpin PAS selepas mereka menghantar memorandum bantahan terhadap tindakan ahli politik Sweden membakar al-Quran baru-baru ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, mereka menghadap Kedutaan Sweden untuk menyatakan ketegasan mereka bahawa perbuatan itu adalah cukup jijik.

“Tadi kita bertemu di dalam, kita menyatakan kerunsingan kita tentang bagaimana Sweden bukan kali pertama mereka membuat tindakan kebencian ini, bukan kali pertama mereka menghina agama kita, sudah tiga kali dan ini adalah kemuncaknya.

“Kita bagitahu mereka bahawa perbuatan ini adalah perbuatan yang cukup mengancam keselamatan dunia, namun apa yang kita kecewa, sampai hari ini Kedutaan Sweden tidak lagi dipanggil oleh pihak kerajaan.

“Kalau di Indonesia, presidennya telah memanggil Kedutaan Sweden untuk memberikan sebab, tetapi hari ini di Malaysia lansung tidak ada, yang ada hanyalah sepatah dua kata yang diberikan pemimpin.

“Kita cukup kecewa, maka hari ini kita mendesak, kita menolak perbuatan ahli politik Sweden yang jijik itu, kita mahukan kerajaan Malaysia bertegas, bukan hanya mengeluarkan kenyataan, panggil wakil Kedutaan Sweden masuk ke pejabat Perdana Menteri, bagitahu apa yang kita rasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penghujung himpunan ‘Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam oleh Ahli Politik Sweden’ anjuran PAS pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Pemuda PN dan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula memberi amaran kepada kerajaan Sweden di samping menegaskan desakan terhadap kerajaan Malaysia itu.

“Ini amaran kepada kerajaan Sweden, jangan benarkan perbuatan ini berulang pada masa yang akan datang, dan kepada kerajaan Madani di Malaysia saya ulangi desakan untuk panggil Kedutaan Sweden untuk datang menghadap Perdana Menteri.

“Minta mereka keluarkan penjelasan mengutuk sekeras-kerasnya dan ambil tindakan ke atas ahli politik Sweden itu.

“Inilah membuktikan kerajaan Malaysia benar-benar bertindak, bukan hanya sekadar menghantar kata bantahan tiga perenggan sahaja, tetapi benar-benar bertindak untuk memastikan menunjukkan bahawa kita umat Islam terluka dengan perbuatan ini,” tegasnya.

Author

Pilihan Editor