KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau tidak pernah memijak atau menendang perut Bella semasa remaja sindrom Down itu berada dalam jagaannya di Rumah Bonda.
Siti Bainun, 31, berkata, ia berdasarkan pemeriksaan oleh Dr Meenambigai PK Sevarajah yang bertugas di Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur yang mendapati paru-paru, abdomen dan kaki Bella berada dalam keadaan baik dan normal.
“Bella memang sangat-sangat sihat. Dia tidak ada penyakit asma atau apa-apa sakit. Malah dapatan ini menunjukkan saya tidak pernah memijak dan menendang perut, menyuruh Bella berdiri lama dan apa jua jenis penderaan yang direka saksi-saksi pendakwaan, tidak pernah berlaku. Malah kaki Bella dilaporkan tiada bengkak,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada hari kedua membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.
Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun memijak lutut Bella dan menyepak ramaja itu manakala saksi pendakwaan kelapan Suhana Zam berkata, beliau pernah melihat Bella berdiri lebih 10 jam semasa berada di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, di sini.
Sementara itu, Siti Bainun berkata, kesan gigitan pada perut Bella berpunca daripada pergaduhan berlaku antara remaja itu dengan bekas penghuni Rumah Bonda dikenali sebagai Balqis, selepas Bella memakai pencuci muka Balqis.
“Lepas pakai, berlari berkejar satu rumah dan mereka masing-masing mengigit antara satu sama lain. Saya juga ada letak minyak gamat dan krim pada mereka. Saya dah marah dan tegur mereka sama seperti ibu bapa lain yang marah apabila anak-anak bergaduh. Saya pun tidak faham kenapa Bella dan Balqis tidak boleh sesuaikan diri bersama.
“Peguam saya ada bertanya kepada Bella mengenai pergaduhan dan Bella sendiri setuju ada bergaduh dengan Balqis. Bila mereka bergaduh, saya akan tenangkan dan nasihat mereka,” katanya yang turut memaklumkan hubungan antara Bella dan Balqis diibaratkan seperti ‘love hate relationship‘ namun mereka faham apabila ditegur.
Berhubung kesan lecuran pada Bella akibat termos berisi air panas tersimbah ke arahnya semasa remaja itu bergaduh dengan Balqis sekitar Mei 2021, Siti Bainun berkata, disebabkan kejadian itu berlaku ketika pandemik COVID-19, beliau telah membeli ubat bagi merawat kesan melecur berkenaan berdasarkan nasihat klinik dan farmasi dan luka terbabit sembuh dalam tempoh sebulan kecuali di bahagian pergelangan tangan.
Menurut Siti Bainun, beliau telah membawa Bella ke Klinik Setapak dan Surgeri berhampiran rumahnya bagi mendapatkan rawatan susulan serta bertemu dengan seorang doktor yang memaklumkan kepadanya bahawa luka Bella semakin mengering, dan memberikan antibiotik bagi mengelakkan jangkitan serta krim untuk disapu di luka Bella.
“Saya tidak mendera Bella. Jika benar saya berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin saya akan cuba menyembuhkan Bella, tiada keperluan untuk saya bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan juga menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan serta ubat-ubatan yang terbaik dan sesuai seperti dicadangkan oleh ahli farmasi.
“Saya telah merawat Bella dengan baik sebagai ibu, dan sebagai orang biasa yang merasakan ini yang terbaik untuk anak saya dan telah membawa Bella untuk mendapatkan rawatan susulan di Klinik Setapak bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang tidak diwakili peguam dalam prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi hari ini.
Berhubung dengan layanan Siti Bainun terhadap Yasmin yang dikatakan seperti hamba abdi, Siti Bainun berkata, beliau tidak mengetahui dari mana datangnya ‘hamba abdi’, dan cerita (hamba abdi) ini adalah supaya mahkamah mempercayai perwatakannya selain untuk mempengaruhi masyarakat dalam menyedapkan ‘cerita ‘ di media sosial.
Siti Bainun berkata, beliau menganggap Yasmin seperti anak sendiri dan melalui diari Yasmin, remaja itu sayangkannya serta adik-adiknya yang juga penghuni rumah kebajikan itu.
“Bermewah-mewah juga tidak. Kami hidup sederhana sahaja. Kalau ada duit lebih saya belikan mereka makanan yang mereka mahu. Saya juga belikan anak-anak saya barang kemas jika ada wang tambahan termasuklah untuk Yasmin.
“Yasmin mereka-reka cerita tentang saya dengan teruk di mahkamah ini, saya masih sayangkan dia. Dia antara remaja pertama yang saya selamatkan dalam jagaan saya. Saya tahu dia dan bapa dia diugut serta Yasmin akan jadi kambing hitam, tapi sekarang saya tidak tahu lagi apa yang terjadi kepada dia,” katanya.
Pada 24 November tahun lepas, Izralizam memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam bersambung 20 Februari ini. – BERNAMA