HomeBeritaPolitik'Jika bawa perpecahan, tak perlu tanding dua jawatan tertinggi UMNO'

‘Jika bawa perpecahan, tak perlu tanding dua jawatan tertinggi UMNO’

 

CYBERJAYA: Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden bagi parti itu tidak perlu dipertandingkan.

Katanya, pertandingan itu tidak wajar dilaksanakan jika hanya membawa kepada perpecahan dan menggugat perpaduan dalam UMNO.

“Kalau kita sorot sejarah penubuhan 70 tahun UMNO hanya empat kali saja berlaku pertandingan untuk jawatan Presiden; Tunku Abdul Rahman vs Ahmad Fuad Hassan (1951); Tun Hussien Onn vs Sulaiman Palestin (1978); Mahathir vs Ku Li (1987) dan Ahmad Zahid vs 4 pencabar (2018).

“Kita boleh lihat setiap kali berlaku pertandingan jawatan Presiden pastinya berlaku perpecahan dalam UMNO. Ahmad Fuad keluar dari UMNO dan tubuhkan PAS selepas kalah kepada Tunku. Begitu juga Sulaiman Palestin tinggalkan parti selepas tumpas kepada Hussein Onn. Manakala Ku Li pun menjadi punca terbesar perpecahan dalam UMNO apabila dia buat parti Semangat 46 dan bawa keluar ramai pemimpin dan ahli parti bersamanya kerana kecewa tumbang kepada Mahathir pada 1987.

“Manakala pada 2018, selepas tewas, walaupun Khairy Jamaluddin tak keluar dari UMNO namun dia dilihat sedikit menjauhkan diri daripada arus perdana parti dan lebih selesa buat hal sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terpedaya dengan sesetengah ahli Parlimen yang menang kerusi di bawah tiket parti namun didakwa khianat dan bersekongkol dengan pihak lawan.

Perkara itu berikutan beliau mendapati terdapat ahli Parlimen yang sudah menggerakkan usaha mengangkat diri mahu menjadi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sekali lagi saya tegaskan, usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tak dipertandingkan demi pengukuhan parti, perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap UMNO.

“”Saya nak ingatkan ahli UMNO supaya tak terpedaya dengan sesetengah ahli Parlimen parti yang menang bawah tiket UMNO namun selepas menang melupakan parti, macam kacang lupakan kulit. Bukan sahaja ada yang melompat malah lebih teruk, khianat kepada parti dengan bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Baik kita fokus kepada macam mana nak kukuhkan kembali UMNO dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini.

“Lagipun dengan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ia adalah platform terbaik untuk mendekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan UMNO membela rakyat,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor