HomeBeritaKami bukan tamak, bayaran diberi pemaju tak setimpal - penduduk Kampung Sungai...

Kami bukan tamak, bayaran diberi pemaju tak setimpal – penduduk Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR: Barisan Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres
dan Flat Kampung Sungai Baru (JK Bertindak) menggesa nasib para pemilik flat dan rumah teres di Kampung Sungai Baru terus dibela.

Perkara itu susulan pemilik menerima surat daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTGWPKL) untuk meneruskan tuntutan ke mahkamah meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan proses pembangunan tempat itu telah ditangguhkan.

Penangguhan yang diputuskan Anwar itu bertujuan supaya kedua-dua pihak pemaju dan pemilik dapat duduk semeja  berbincang bagi mencapai persetujuan yang saksama.

Pengerusi JK Bertindak, Lily Suzana Kudari berkata, kebanyakan pemilik yang masih lagi tidak bersetuju untuk berpindah keluar dari rumah mereka adalah kerana mereka mahukan bayaran yang setimpal.

“Kami hanya mahu pemaju membayar harga tanah kami mengikut harga yang telah ditetapkan oleh penilai yang oleh pemilik. Kami bukan bodoh. Kami bukan tamak. Bayaran haruslah sepadan dengan keuntungan yang bakal pemaju perolehi selepas siap pembangunan ini.

“Pemaju bakal mengaut keuntungan berpuluh kali ganda, mana rasionalnya keuntungan hanya kepada sebelah pihak sahaja. Salahkah kami selaku pemilik menetapkan harga, harta kami, barang kami, rumah kami. Kalau tak mampu, jangan beli, jangan ambil, bukan salah kami, pemilik flat berpindah.

“Kamu pemaju yang suruh kami pemilik flat berpindah. Kamu pemaju yang janjikan bulan dan bintang, janjikan kekayaan dan kemewahan kepada pemilik flat berpindah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pihak JK Bertindak menyerahkan memorandum yang mengandungi cadangan penyelesaian berhubung isu mereka ini kepada Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru pada Ahad.

Lily turut menyarankan agar kerajaan mendesak pemaju segera membina pangsapuri yang dijanjikan kepada pemilik untuk berpindah di atas tapak plot 1 berkeluasan tiga ekar di tapak sidang media itu.

“Manakala Pejabat Peguam Negara dan JKPTGWPKL perlulah menghentikan segala proses berkaitan pembangunan semula ini termasuk tuntutan yang dibawa ke mahkamah.

“Kami juga mengharapkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi kerajaan berkaitan untuk Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru lebih cakna dan prihatin akan nasib pemilik teres yang mahal ini terbela dan cukup-cukuplah mengikut kehendak dan telunjuk pemaju yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor