HomeBeritaJangan susahkan rakyat bila ada kuasa - Anwar

Jangan susahkan rakyat bila ada kuasa – Anwar

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin supaya tidak menyusahkan rakyat ketika mereka mempunyai kuasa.

Mengambil inspirasi lagu Tamil kegemarannya, Naan Aanaiyittal, yang dinyanyikan artis terkenal India, MG Ramachandran (MGR), beliau berkata, lagu itu mengajarnya agar tidak lupa tanggungjawab terhadap rakyat.

“Tak apalah orang kadang-kadang dalam politik ni dia cerca kita, dia maki kita, ada dia kata tak Islam sangatlah, macam-macam… Itu tak mengapa. Yang penting negeri ini kita kena selamatkan.

“Bila saya sebut Malaysia kena selamatkan… untuk siapa? Untuk Melayu, untuk Cina, untuk India, untuk orang Dayak, untuk Kadazan, bukan untuk orang atas.

“Negeri ini kaya, hasil banyak, tetapi pasal apa orang kaya, kaya… orang miskin, ramai. Sebab wang yang ada kadang-kadang, kontraklah, projeklah, itu curi terlalu banyak, curi, curi, curi,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Tambah Anwar, dengan sokongan daripada rakan-rakan kepimpinan, beliau akan menggunakan kuasa yang ada untuk menyelamatkan negara.

Menurutnya, meskipun wujud sebilangan pihak yang tidak lagi mahu bercakap mengenai perkara itu, beliau l akan terus berbicara mengenainya.

Anwar turut menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak akan beroleh keuntungan jika termakan hasutan agar rakyat berbilang kaum di negara ini saling bertelagah dan bergaduh.

“Balik-balik dia nak suruh gaduh… Melayu suruh gaduh dengan Cina, Cina gaduh dengan India. Saya tegaskan, bila kita gaduh antara kita, antara kaum, siapa yang untung? Rakyat tak untung. Yang gaduh siapa? Orang bawah. Yang suruh gaduh siapa? Orang politik di atas,” katanya.

Justeru, Anwar berharap Malaysia dapat berubah daripada cara lama, jika tidak, ia akan menjadi masalah besar di masa hadapan.

Author

Pilihan Editor