PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti 36,000 permohonan untuk menjadi warganegara sejak tahun 2017.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu kerakyatan antara fokus utama yang mahu diselesaikan secara tuntas beliau sejak diberi tanggungjawab di KDN dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya memberi jaminan isu ini akan diselesaikan secara berperingkat tanpa berkompromi dengan undang-undang negara.
“Saya ambil rekod dari 2017 hingga 2022 yang buat permohonan 54,000 dan kita luluskan sehingga sekarang 7,000 dan kita sedang proses 36,000, lain-lain kita batal atau gagal,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini pada Isnin.
Saifuddin Nasution turut menyampaikan surat kelulusan kewarganeraan kepada 28 penerima hari ini.
Saifuddin turut memaklumkan, JPN kini dalam usaha mendigitalkan 150 juta rekod rakyat Malaysia sejak 1868.
“Kami diberi taklimat oleh JPN (pada) masa hadapan untuk tingkat kualiti penyampaian. Di JPN ada bahagian yang simpan khazanah seawal abad ke-18. maklumat asas, nama, alamat dan pekerjaan dalam simpanan JPN.
“Rancangan masa depan, khazanah maklumat dapat simpan dengan selamat, kami mahu mendigitalkan rekod JPN supaya dapat pastikan keselamatan, simpan tujuan munasabah masa hadapan,” katanya.