HomeBeritaIsu kerakyatan anak: Kertas Jemaah Menteri dibentang bulan depan

Isu kerakyatan anak: Kertas Jemaah Menteri dibentang bulan depan

PUTRAJAYA: Kertas Jemaah Menteri berhubung pindaan pada Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara dijangka akan dibawa ke Kabinet seawal Februari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu jawatankuasa bagi meneliti perkara itu telah ditubuhkan.

“Hasrat kami untuk mengangkat kertas jemaah menteri bagi dimuktamadkan di peringkat Kabinet,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini pada Isnin.

Saifuddin Nasution turut menyampaikan surat kelulusan kewarganegaraan kepada 28 penerima hari ini.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan memulakan proses pindaan itu dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara.

Pindaan pada Bahagian II Jadual ke-2 Perlembagaan Persekutuan itu bagi membolehkan kanak-kanak dilahirkan wanita warga Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini, sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Tambahnya, proses jawatankuasa berkenaan sedang meneliti aspek perundangan berkaitan, seksyen apa dan siapa yang patut kita libatkan.

“Kita tidak mahu ada kes yang tertinggal, semua kita masukkan sekali termasuk isu status anak luar taraf.

“Selepas dimuktamadkan baharulah dibawa ke Peguam Negara untuk mengubal undang-undang baharu atau pindaan bergantung jadual mereka,” katanya lagi.

 

Author

Pilihan Editor