HomeBeritaKerajaan akan perkenalkan Pakej Perpaduan Internet khas untuk B40

Kerajaan akan perkenalkan Pakej Perpaduan Internet khas untuk B40

CYBERJAYA: Pakej Perpaduan Internet talian tetap khas buat golongan B40 di Malaysia akan diperkenalkan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menurutnya, Ketua Setiausaha (KSU) KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek telah diarahkan untuk membuat rundingan dengan pihak berkaitan berhubung pakej itu.

“Sebelum ini kita ada umum Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih untuk telefon bimbit.

“Selepas ini kita akan hantar KSU (buat rundingan), untuk pastikan Pakej Perpaduan bagi Internet jalur lebar talian tetap,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) 2023 di Putrajaya, pada Selasa.

Untuk rekod, Fahmi sebelum ini pernah mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dengan kadar harga RM5 sebulan akan memasuki pasaran mulai Februari depan.

Pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

Tambah beliau, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi memainkan peranan penting dalam melengkapkan tiga peratus akses Internet di kawasan yang belum diselesaikan serta baki 97 peratus yang dikesan mempunyai pothole.

Pada masa sama, Fahmi berserta timbalannya, Teo Nie Ching turut memberi jaminan bahawa akan memastikan isu Internet dalam negara diselesaikan dalam kadar segera.

Author

Pilihan Editor