HomeHiburanHarum Malam tonjol bakat-bakat baharu kepalai plot filem

Harum Malam tonjol bakat-bakat baharu kepalai plot filem

PETALING JAYA: Pengarah filem tersohor, Dain Said yang pernah mengarahkan filem seram pecah panggung, Dukun (2006) kini kembali dengan karya terbarunya Harum Malam yang bakal menemui penonton di seluruh pawagam 9 Februari ini.

Menariknya, pengamal media yang menonton filem tersebut di tayangan perdananya pada Malam Gala Harum Malam di GSC The Starling Mall pada Isnin malam dikejutkan dengan aksi dan persembahan bakat-bakat baharu dalam industri.

Selaku pemegang watak utama filem, Idan Aedan memegang tanggungjawab yang besar memainkan peranan memimpin jalan cerita dengan lakonannya yang penuh emosi dan dia berjaya melakukannya.

Selain Idan, Arnie Shasha yang merupakan pelakon baharu turut memegunkan penonton dengan aksi ngeri yang dilakukannya di samping lakonan seramnya dilihat nampak ‘real’.

Mengulas persembahan mereka, Dain menzahirkan rasa syukurnya kerana berpeluang bekerjasama dengan bakat-bakat baharu ini dan memuji persembahan mereka.

“Saya bersyukur dan saya rasa saya sangat-sangat beruntung, saya ada pelakon-pelakon yang betul-betul hebat yang sudi bekerja dengan saya, lagi satu ialah anak-anak muda ini, pada saya mereka adalah superstar pada masa hadapan.

“Awak tengoklah dengan persembahan mereka, mereka hebat, terima kasih kepada barisan pelakon yang muda ini,” ujarnya dalam sidang media Malam Gala Harum Malam.

Selaku salah seorang pelakon filem tersebut, Nadiya Nisaa dan Remy Ishak turut menzahirkan rasa bangga mereka terhadap bakat-bakat baharu ini sebagai pendatang baharu dalam industri perfileman Malaysia.

“Saya duduk dekat sini rasa bangga sangat kerana filem ini melahirkan bakat baharu dalam bidang lakonan di mana saya sangat kagum, duduk dekat kerusi penonton tadi tengok persembahan mereka, Idan, kawan-kawan mereka, Abu dan Ali, ‘oh my God, watch out’,” kata Nadiya.

“Diharap filem ini akan dapat memberi lagi semangat yang baru kepada industri filem tempatan, terima kasih kepada Dain Said, Nandita, rakan-rakan pelakon yang lain.

“Ya, saya bersetuju juga dengan Nadiya, sekarang ini lahir bakat-bakat baharu yang sangat cemerlang, jadi kami sangat gembira untuk mempunyai pendatang baharu industri berbakat sebegini,” kata Remy.

Bagi Idan dan Arnie pula, mereka berasa sangat bangga dan gembira kerana berpeluang berlakon dengan barisan pelakon yang hebat di samping ini merupakan filem pertama mereka.

Untuk rekod, Idan juga merupakan pelakon tempatan pertama membintangi siri antarabangsa untuk siaran saluran Netflix, Mr. Midnight: Beware The Monsters.

“Harum Malam sangat istimewa buat saya kerana ini merupakan ‘feature film’ pertama saya dan saya berpeluang untuk bekerja dengan Dain Said dan ‘our casts’ yang hebat-hebat dan saya sangat bersyukur.

“Saya harap 9 Februari nanti semua orang akan ‘enjoy’ filem ini terumanya buat peminat ‘horror film’ di luar sana,” ujar Idan penuh harapan.

Menjadi anak kepada penerbit filem itu, Datuk Rosmarayu Mokhtar juga tidak memadamkan bakat ditonjolkan Arnie dalam Harum Malam melalui aksi ngerinya yang rupanya disebabkan kesungguhan dan bakatnya.

“Saya masuk gimnastik semasa saya masih di sekolah rendah dan sekarang saya masuk taekwando sebab itu saya fleksibel,” jelas Arnie mengenai sebab bagaimana dia boleh menjayakan aksi-aksi itu.

Harum Malam merupakan filem terbitan Apparat dengan kerjasama D’Ayu Pictures dan Skop Productions dan berkisarkan pergelutan hidup watak utamanya, Iqbal, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib dengan mata kasarnya.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon terkemuka, Bront Palarae, Remy, Amanda Ang, Nadiya, Faizal Hussein, Nabila Huda dan Joey Daud.

Author

Pilihan Editor