Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee menyifatkan keputusan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai langkah yang amat positif.
“Keputusan ini akan dapat mengurangkan birokrasi, seterusnya mempercepat projek yang hendak dilaksanakan terutamanya dalam usaha menangani sekolah daif,” katanya dalam video yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini.
Menurutnya, sebelum ini apabila berlaku keadaan yang tidak dapat diguna pakai atau memerlukan notis perubahan dalam perancangan, terdapat prosedur memerlukan kerajaan Sarawak merujuk kepada Persekutuan dan ini merupakan satu masalah kerana mengambil masa panjang untuk diselesaikan.
Katanya, pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak bukan hanya melibatkan reka bentuk yang berbeza dengan Semenanjung, malah turut membabitkan masalah logistik.
Dr Annuar berkata, Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) digunakan secara menyeluruh di Semenanjung, tetapi sistem yang sama mungkin tidak dapat digunakan di Sarawak berikutan jarak yang jauh dari bandar yang menimbulkan masalah pengangkutan.
Menurutnya, kebanyakan sekolah daif yang dibaik pulih atau dibina semula menelan kos dalam lingkungan antara RM20 juta dan RM30 juta.
“Jadi dengan keputusan kerajaan pada hari ini saya pasti projek baik pulih sekolah daif di Sarawak ini dapat dipercepat,” tambahnya.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini Perdana Menteri mengumumkan Kementerian Kewangan bersetuju supaya pelaksanaan projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan mematuhi peraturan kewangan. – BERNAMA