BAITULMAQDIS: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah penempatan di Baitulmaqdis Timur pada malam Jumaat, menurut Kementerian Luar Israel menerusi ciapan di Twitter.
Menurut perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom berkata, beberapa orang sedang dirawat kerana mengalami kecederaan serius manakala penyerang telah ditembak mati, lapor Xinhua.
Media Israel melaporkan bahawa serangan bermula di rumah ibadat sebelum merebak ke jalanan.
Insiden itu berlaku beberapa jam selepas pejuang Palestin dari Semenanjung Gaza melancarkan roket ke Israel.
Ketegangan memuncak sejak tentera Israel membunuh sembilan rakyat Palestin, termasuk seorang wanita berusia 61 tahun dalam serbuan di kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki pada Khamis.
Israel mendakwa serbuan itu dilakukan untuk menggagalkan “skuad pengganas” yang merancang serangan terhadap Israel. – BERNAMA