ANKARA: Lautan dunia berada pada tahap paling panas pernah direkodkan pada 2022, menurut hasil kajian baharu.
“Kitaran tenaga dan air Bumi banyak berubah disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau akibat aktiviti manusia yang mendorong perubahan meluas dalam sistem iklim Bumi,” lapor Agensi Anadolu memetik laporan oleh kumpulan saintis antarabangsa yang diterbitkan dalam jurnal Advances in Atmospheric Sciences.
Pemanasan lautan menyebabkan “cuaca yang lebih melampau dan menjurus kepada kesan luar biasa di seluruh dunia,” kata ahli pasukan kajian itu dan profesor di Universiti St. Thomas di AS John Abraham.
Menggunakan rekod yang disimpan sejak 1958, analisis menunjukkan terdapat “peningkatan suhu laut yang tidak dapat dielakkan dengan pemanasan melonjak selepas 1990”.
Memandangkan lautan menyerap lebih 90 peratus lebihan haba yang dihasilkan oleh pelepasan gas rumah hijau, pemanasan lautan dan kesannya terhadap cuaca ekstrem akan meningkat sehingga manusia merealisasikan pelepasan sifar bersih, menurut laporan itu.
Hasil kajian berdasarkan laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Oktober lalu yang menunjukkan kepekatan atmosfera tiga gas rumah hijau utama – karbon dioksida, metana dan nitrous oksida – semuanya mencapai rekod tertinggi pada 2021.
“Data mengenai peningkatan berterusan dalam kepekatan gas penangkap haba utama, termasuk rekod pecutan dalam paras metana, menunjukkan arah tuju kita kini tersasar,” kata ketua WMO Petteri Taalas. – BERNAMA