KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan usaha memperkasakan pembangunan pendidikan anak-anak miskin bandar menerusi pembukaan Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor yang ketiga di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, LZS dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad mengubah suai dua unit pangsapuri milik LZS mengikut reka bentuk konsep dan keperluan lengkap dengan komputer, bilik bacaan, ruang belajar serta ruang santai yang selesa.
“Semua ini adalah hasil sumbangan Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad sebanyak RM640,000 melibatkan kos pengubahsuaian dan pembelian peralatan serta kelengkapan termasuk kos pengurusan operasi bagi tempoh dua tahun,” katanya pada majlis perasmian pusat inovasi itu hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Berhad, Shahrul Azuan Mohamed, Mufti Selangor merangkap Ahli Jawatankuasa LZS, Datuk Dr Anhar Opir dan Mufti Terengganu merangkap Jawatankuasa Syariah Kumpulan Etiqa Takaful, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.
Mohd Sabirin berkata, Al-Biruni Zakat Selangor dibangunkan di bawah Program Pembangunan Kanak-kanak Miskin Bandar LZS bertujuan membendung masalah gejala sosial dan meningkatkan kemudahan pendidikan dengan menyediakan ruang selamat yang kondusif untuk anak-anak miskin bandar bersosial serta belajar.
Beliau berkata, LZS turut bekerjasama dengan ADAB Youth Garage (AYG) yang bertanggungjawab mengawal selia operasi serta menjalankan aktiviti yang telah dirancang secara tahunan.
“Hasil kajian AYG mendapati berlaku keciciran murid disebabkan hilang rasa minat akibat gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Untuk menangani masalah ini, program Kelas Intervensi 3M akan dilaksanakan di kesemua Al-Biruni Zakat Selangor termasuk di Desa Mentari, Petaling Jaya dan Tanjong Karang,” katanya.
Sementara itu, Zafri berkata, sumbangan yang disalurkan melalui LZS itu merupakan sebahagian daripada zakat tahunan Etiqa Takaful yang diberikan secara terus kepada institusi-institusi kebajikan yang layak di bawah program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa Takaful.
“Diharapkan pusat inovasi dan pembelajaran ini dapat dimanfaatkan serta dipelihara sebaiknya oleh anak-anak yang terlibat dan sumbangan ini sekali gus memberi semangat kepada mereka untuk belajar dengan lebih tekun demi masa depan yang cerah,” katanya. – BERNAMA