KUANTAN: Seorang penolong pegawai pertanian mendakwa kerugian RM215,100 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis, pada November tahun lepas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa dihubungi oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans pada November bagi menyiasat tuntutan yang dikatakan dibuat mangsa.
“Suspek mendakwa terdapat tiga tuntutan yang disyaki palsu dan kes itu kononnya telah sampai ke pengetahuan polis. Mangsa seterusnya dihubungi oleh suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai polis.
“Suspek dikatakan menakutkan mangsa dengan mengatakan dia terlibat dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram serta perlu membayar jaminan RM400,000 selain diarahkan mendedahkan maklumat perbankan untuk siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Ramli berkata, mangsa menyedari ditipu selepas mendapati terdapat 33 transaksi pemindahan wang secara dalam talian menerusi akaun banknya, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada petang Khamis lepas.
Pada kes berasingan, Ramli berkata, seorang wanita berusia 37 tahun di Maran, mendakwa kerugian RM165,090 selepas mendedahkan maklumat perbankannya kepada pihak ketiga pada 13 Januari lepas.
Mangsa mendakwa berbuat demikian selepas dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat penghantaran bagi memaklumkan terdapat bungkusan berisi barang larangan dialamatkan kepadanya.
“Mangsa yang menafikan perkara itu kemudiannya dihubungi suspek lelaki kononnya pegawai polis dan memaklumkan nama mangsa telah digunakan untuk membuka akaun bank berkaitan kes pengubahan wang haram.
“Mangsa yang bimbang akan ditangkap mendakwa telah diarahkan untuk mengisi maklumat perbankannya ke pautan diberikan suspek,” katanya.
Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai untuk menyemak dengan polis jika menerima panggilan telefon meragukan dan tidak berkongsi maklumat perbankan dengan pihak ketiga supaya tidak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA