CYBERJAYA: Sebagai seorang juri, penyanyi, Mas Idayu menegaskan tegurannya kepada pasangan sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel dalam program realiti, Famili Duo adalah bersebab.
Mengulas mengenai tegurannya sehingga menyebabkan Sissy menangis di atas pentas selepas persembahan minggu keenam mereka menerusi lagu Jampi pada Ahad malam itu, katanya dia hanya mahu mereka lebih berjaya di masa akan datang.
Menurut Mas Idayu, Naim dan Sissy ialah peserta berpotensi kerana Sissy cerdik dalam ilmu muzik, manakala Naim mempunyai kepakaran dari segi persembahan.
“Justeru, saya teruja apabila mendapat tahu Sissy dan Naim akan tampil dengan lagu Jampi yang susunan muzik diubah kepada genre keroncong.
“Namun, hasilnya mengecewakan kerana nyanyian mereka sumbang berbanding muzik yang besar.
“Tiada emak, cikgu atau sesiapa yang akan marah tanpa sebab. Saya tegur kerana saya sayang bakat mereka. Saya mahu mereka lebih berjaya apabila keluar daripada program ini nanti,” katanya seperti dilapor BH Online.
Untuk rekod, teguran Mas Idayu terhadap pasangan duo itu meraih perhatian ramai susulan tangisan Sissy di atas pentas sehingga ramai yang mengecamnya.
Tidak terkesan dengan kecaman tersebut, Mas Idayu berkata cara tegurannya itu adalah karakternya sebagai juri, malah dia turut menegaskan kandungan program pada malam itu bukan dibuat untuk sensasi.
“Orang luar nak cakap apapun, terpulanglah. Sebagai juri, saya hanya mahu anak-anak saya menang dan keluar menjadi penyanyi lebih bagus.
“Lagipun, ini memang karakter saya sebagai juri. Saya tidak boleh menjadi seperti orang lain. Benda ini pun berlaku secara spontan dan bukannya dibuat-buat.
“Saya ada juga mendengar orang luar menganggap ini kandungan semata-mata untuk sensasi. Itu juga tidak benar,” kata penyanyi lagu Cinta 100% itu.
Mas Idayu turut menjelaskan bahawa tegurannya kepada persembahan tersebut bukanlah bersifat peribadi ditujukan kepada Sissy seorang sahaja seperti yang tular.
Tambahnya, Sissy akan kerugian jika menarik diri daripada program yang masih berjalan itu kerana Sissy akan menjadi seorang yang profesional jika terus kekal dan mengambil iktibar daripada tegurannya.
“Saya faham perasaan Sissy apabila menangis atas pentas, tetapi niat saya membuat teguran kerana saya perlu bersikap jujur. Ini sudah minggu keenam dan saya tidak boleh pejam mata jika ada kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.
“Setiap peserta program ini sepatutnya bersedia dengan pelbagai kemungkinan kerana mereka sudah dimaklumkan lebih awal oleh produksi saya adalah seorang daripada juri dan karakter saya.
“Jika ambil positif apa yang saya katakan dan terus kekal menyertai program realiti minggu depan, dia adalah seorang yang profesional dan dahsyat.
“Tetapi, jika memutuskan menarik diri, Sissy juga yang rugi. Apapun, saya serahkan pada produksi keputusan yang bakal Sissy ambil,” jelasnya lagi.