KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan kempen Kejohanan Masters Indonesia dengan meraih kemenangan di Istora Senayan di Jakarta, awal pagi tadi.
Pemain ranking keempat dunia itu tenang melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil Taiwan, Lin Chun Yi dengan kemenangan straight set 21-18, 21-17 dalam tempoh 41 minit.
Zii Jia sekali gus akan menentang pemain ranking ke-18 dunia dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long yang turut mara selepas menewaskan pemain profesional negara Cheam June Wei 21-6, 21-15.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie hanya memerlukan 31 minit untuk menyingkirkan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-6, 23-21.
Soon Huat-Shevon akan berdepan satu lagi gandingan Denmark, Mathias Thyrri-Amelia Magelund yang turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Taiwan Chang Ko-Chi-Lee Chih-Chen 21-15, 22-20.
Keputusan sama turut dilakar oleh satu lagi beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas menewaskan gandingan Jerman, Jones Ralfy Jensen-Linda Elfer 21-10, 21-10.
Kian Meng-Pei Jing akan bertemu gandingan Indonesia Jafar Hidayatullah-Aisyah Salsabila Putri Pranata yang berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan India Rohan Kapoor-Reddy Sikki 12-21, 23-21, 21-16. – BERNAMA