HomeBeritaMengapa perlu bezakan soalan Bahasa Melayu, Jiao Zong perlu akur dengan KPM...

Mengapa perlu bezakan soalan Bahasa Melayu, Jiao Zong perlu akur dengan KPM – Wan Ahmad Fayhsal

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak tunduk dengan tekanan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Ketua Armada Bersatu itu berkata, beliau terkejut membaca keluhan Jiao Zong berhubung bank soalan Bahasa Melayu (BM) untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Beliau mempersoalkan tindakan itu melihatkan alasan Jiao Zong tidak setuju penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek BM bagi semua aliran sekolah iaitu bertentangan dengan prinsip pendidikan.

“Mengapa perlu beza-bezakan soalan BM untuk sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) walhal kurikulum pengajian bahasa diperingkat asas menuntut kepada silibus yang sama seperti yang telah diputuskan oleh KPM?

“Apakah ada perbezaan prinsip dan matlamat pendidikan yang Jiao Zong perjuangkan sehingga menuntut kepada bukan saja perbezaan bank soalan malah buku teks yang berlainan?

“Bukankah pengajaran dan pembelajaran BM di peringkat asas adalah sama untuk semua pelajar di peringkat itu tidak kira di SK ataupun SRJK?” soalnya kepada Jiao Zong dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau juga mempersoalkan mengenai alasan waktu pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK 32 jam lebih pendek berbanding SK yang dinyatakan Jiao Zong.

“Jiao Zong perlu akur dengan dasar Kementerian Pendidikan bahawa proses pendidikan di negara kita turut merangkumi usaha menyatu padukan rakyat yang berbilang kaum, agama melalui penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan meluas.

“Kita tidak boleh membeza-bezakan silibus yang ada kerana kita ingin melahirkan warganegara Malaysia yang punya kefahaman yang sama tentang negara bangsa Malaysia.

“Keluhan Jiao Zong ini tidak membantu dalam usaha memupuk perpaduan nasional di peringkat paling asas iaitu peringkat persekolahan anak-anak kita.

“Kita mahu lebih ramai pelajar-pelajar SRJK menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih kerana ianya akan membantu keboleh pasaran para pelajar SRJK dan juga mengukuhkan usaha SRJK menjayakan perpaduan nasional,” katanya lagi.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyeru KPM untuk kekal teguh dengan dasar yang menggunakan hanya satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk apa-apa subjek, khususnya yang ada unsur pembentukan negara bangsa.

Tambahnya, KPM juga perlu bersedia membantu dalam apa jua cara dalam memudahkan dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK.

Author

Pilihan Editor