HomeBeritaEmpat ekor anjing K9 terima anugerah 'Golden Performance'

Empat ekor anjing K9 terima anugerah ‘Golden Performance’

CYBERJAYA: Empat ekor anjing Unit Pengesan (K9) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada bulan lalu, dianugerahkan pingat ‘Golden Performance’, hari ini.

Penganugerahan yang diberi kepada Blake, Lady, Grouse dan Pop itu diberi menerusi Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023 yang berlangsung di Putrajaya.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai tanda penghormatan atas jasa dan bakti dalam membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan ‘Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali’ kepada Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohamad bagi mewakili 537 anggota Bomba serta Unit Pengesan JBPM K9 yang bertugas mencari dan menyelamat dalam tragedi yang meragut 31 nyawa.

Sijil Penghargaan turut diterima oleh PPjB Wan Md Razali bin Wan Ismail, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Selangor bagi mewakili JBPM Negeri Selangor.

“YB Menteri kemudian menyempurnakan penganugerahan pingat perkhidmatan bomba kepada Allahyarham TPgB II Abd Aziz Usoff yang diwakili oleh anaknya iaitu Abdul Hariz bin Abdul Aziz.

“Allahyarham merupakan Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Rawang yang turut terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat dalam tragedi Tanah Runtuh Batang Kali,” maklum JBPM menerusi Facebook rasminya.

Pada masa sama, dalam majlis itu Kor Ming turut memperkenalkan tiga slogan (tagline) baharu yang boleh digunakan oleh seluruh warga KPKT iaitu #StrongTogether, #UnityInDiversity dan #DemiPertiwi.

Author

Pilihan Editor