ANKARA: Menteri Luar Turkiye dan ketua Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat membincangkan serangan berulang terhadap kitab suci umat Islam, al-Quran baru-baru ini.
Menerusi perbualan di telefon, Mevlut Cavusoglu dan Setiausaha Agung OIC Hussein Ibrahim Taha menilai serangan terhadap al-Quran di Sweden dan Belanda serta reaksi dunia Islam terhadap serangan ini, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Kementerian Luar.
Pada 21 Januari, Rasmus Paludan, seorang ahli politik ekstrem kanan Sweden-Denmark, membakar sebuah naskhah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, hingga menimbulkan kecaman dari seluruh negara Arab dan dunia Islam.
Keesokan harinya, Edwin Wagensveld, ahli politik Belanda yang juga ketua kumpulan Islamofobia Pegida, mengoyakkan beberapa halaman salinan al-Quran di The Hague dan kemudian membakarnya. – BERNAMA