PUTRAJAYA: Apabila kita membaca berita mengenai golongan pendidik yang didakwa kerana melakukan perkara tidak wajar, timbul rasa kecewa dan hilang hormat terhadap mereka.
Namun, bukan semua pendidik bersikap tidak jujur dalam memberi contoh tauladan kerana pastinya golongan yang berakhlak mulia itu masih wujud dan jumlahnya lebih ramai.
Baru-baru ini, Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mengiktiraf 92 tokoh dari industri pendidikan yang telah berjasa kepada anak bangsa.
Pengiktirafan itu merupakan sebahagian inisiatif MPTN bagi mengalakkan lebih ramai lagi golongan pendidik menjalankan tugas dengan akhlak mulia.
Kesemua mereka diiktiraf di majlis Malaysia Influencial Educators (MIE) atau Pendidik Paling Berpengaruh Malaysia kali ketiga di Hotel Marriot Putrajaya.
Pengerusi MIE, Tiffany Tan Tian Yee berkata, pendidikan adalah asas manusia, asas negara dan asas kemanusiaan.
“Sumbangan golongan pendidik ini penting demi kemajuan pendidikan negara, dengan harapan bahawa kumpulan elit ini dapat memacukan lagi ekonomi negara.
“Selain itu, acara ini diharapkan boleh memberi peringatan bahawa pendidikan bukan sahaja mengajar melalui buku, tetapi yang lebih penting mendidik insan supaya lebih berakhlak mulia.
“Fokus tidak sepatutnya diberikan pada prestasi akademik sahaja, tetapi tumpuan turut perlu diberikan pada kemahiran berfikir serta keperibadian yang mulia, ” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada 92 tokoh pendidik di hotel berkenaan.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Jabatan Perdana Menteri, Nik Adi Sukiman Nik Ahmad Fauzi, Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perancangan Strategik Dan Hubungan Antarabangsa, wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, Heizrul Ali, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri), Noraffendy Abd Khalid dan Pengarah Negeri, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Selangor, Nurul Azhar Husin.
Dalam pada itu, beliau turut berpendapat bahawa pendidik tidak seharusnya fokus kepada prestasi akademik murid semata sebaliknya, tumpuan juga perlu diberikan dalam aspek pemikiran kritikal dan keperibadian yang mulia.
“Pendidikan bukan semata-mata mengajar anak-anak murid, tetapi juga merangkumi aspek mendidik dan mengasuh seseorang.
“Pemupukan nilai-nilai mulia adalah intipati pendidikan insan,” katanya.
Sementara itu, Heizrul Ali berkata, cabaran pendidikan pada hari ini, tidaklah sama seperti di zaman persekolahan dahulu.
“Cabaran kepada guru dan pendidik sebelum ini lebih kepada memberikan pendidikan kepada anak murid, memastikan kerja- kerja sekolah yang diberikan dapat disiapkan, anak-anak murid cemerlang dalam peperiksaan, dan dapat membentuk disiplin dan sahsiah diri agar dapat menjadi insan yang dapat beri manfaat.
“Namun demikian, selain daripada cabaran pendidikan sedia ada, perubahan dunia pendidikan yang lebih drastik dan mencabar sejurus munculnya COVID-19 penghujung tahun 2019.
“Perubahan ini bukan sekadar perubahan kepada pendidikan semata-mata, tetapi ia mengubah lanskap dan aspek kehidupan manusia seluruh alam.
“Di antara cabaran pendidikan era baharu adalah pendidikan digital, akses kepada pendidikan pasca COVID-19 dan Global Citizenship Education.
“Pendidikan digital kini merupakan salah satu pemacu utama dalam perkembangan ekonomi negara. Penguasaan dalam kemahiran digital menjadi semakin penting di era revolusi industri 4.0, internet of things dan juga proses pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan teknologi.
“Sehubungan itu, strategi-strategi bagi merapatkan jurang hendaklah sama-sama dirangka dan dilaksana oleh semua pihak yang terlibat. Kejayaan dalam memastikan pengurangan kadar jurang digital adalah penting bagi meningkatkan lagi kadar fasih digital dan sekaligus memupuk proses inovasi dalam masyarakat.
“Penekanan terhadap aspek pendidikan digital ini juga dilihat selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) ke-4 iaitu mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan juga matlamat ke-10 iaitu mengurangkan ketidaksamaan,” katanya.