KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin menegur gaya rambut saksi pembelaan kes keganasan rumah tangga bekas isteri anak guamnya, Emilia Hanafi.
Soalan pertama itu diajukan oleh Datuk Akberdin Abdul Kader yang juga peguam kanan, terhadap saksi berkenaan yang juga anak kepada Faisal dalam pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
Saksi kanak-kanak itu memiliki rambut pendek, tebal dan beralun, gaya rambut terkini ala K-Pop.
Prosiding tertutup (menerusi kamera) itu bermula jam 11.15 pagi hingga jam 12.30, lalu ditangguhkan untuk disambung semula jam 2 petang.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam pemerhati mewakili Emilia, Amirul Iman Dollah dari Tetuan Nazri Yahya & Co.
Peguam Faisal juga ada membawa seorang lagi peguam, Wan Nurliyana Abdul Rahman dalam prosiding hari ini.
Pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan juga Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.
“Pihak berkaitan sahaja dalam mahkamah, pemeriksaan balas (cross examination) sudah diajukan ke atas saksi kanak-kanak ini dan kebanyakan soalan awal berhubung perintah ‘consent judgment’ bagi hak penjagaan dan lawatan.
“Sebelum mahkamah ditangguhkan jam 12.30 tengah hari, beberapa soalan mengenai perkara yang berlaku pada 22 November 2015 turut diajukan.
“Selepas kes berlangsung semula jam 3 petang, hanya 20 minit sahaja sebelum ditangguhkan semula.
“Pada sesi petang, peguam kanan, Datuk Jagjit Singh mengulang semula soalan sama pada sesi pagi.
“Tetapi telah dibantah oleh pihak pendakwaan, Zahida dan Aisyah yang mengatakan soalan itu tidak relevan dan ditanya berulang kali.
“Puan Majistret, Nadia Othman juga bertanya berkenaan relevensi soalan tersebut,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Turut hadir, peguam pemerhati Ayzad Zaqwan Zainal dari Tetuan Nazri Yahya & Co, wakil Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gulab Jan Fazal Eladi.
Manakala barisan pasukan pembelaan SM Faisal diketuai oleh Akberdin.
Untuk rekod, Wan Nurliyana adalah ibu saudara sepupu kepada saksi kanak-kanak yang juga pengasas Malaysian Women Empowering Women (MyWEW).
SM Faisal diiringi penjaminnya yang juga pemandu peribadi memakai baju kemeja dan seluar denim hadir ke mahkamah.
Beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan saksi sama akan disambung pada 13 Januari nanti.
Majistret meminta pada tarikh akan datang pihak memberikan tiga tarikh lapang yang lain.