HomeBeritaDidakwa rogol remaja bawah umur, inspektor mengaku tak bersalah

Didakwa rogol remaja bawah umur, inspektor mengaku tak bersalah

SUNGAI PETANI: Inspektor polis, Mohd Maliki Azmi mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual ke atas seorang remaja bawah umur.

Pengakuan itu dibuat tertuduh selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid di Mahkamah Sesyen, Sungai Petani pada Khamis.

Mohd Maliki didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada jam 6.30 petang 28 Disember tahun lalu di dalam bilik pegawai penyiasat jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan; Seksyen 14(a), Seksyen 14(c) dan Seksyen 15(a)(ii) Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat jika didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Maliki memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan dia tiada pendapatan berikutan akan digantung tugas selepas kes itu, mempunyai isteri serta ibu bapa untuk ditanggung selain mempunyai hutang yang semakin meningkat.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM25,000 bagi semua pertuduhan selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes tersebut ialah pada 6 Februari.

Author

Pilihan Editor