KONSERT “Secret of Success: Live in Malaysia 2023” AR Rahman yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu lalu nyata mendapat sambutan hangat.
Malah, turut menjadi tumpuan dalam konsert tersebut adalah penampilan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang bergandingan dengan AR Rahman membuat persembahan nyanyian lagu Tamil, Munbe Vaa.
Bagaimanapun, konsert yang dihadiri lebih 60,000 penonton berbilang bangsa itu sehingga kini masih menjadi bualan ramai kerana baru-baru ini, dilaporkan seorang atlet Malaysia meninggalkan komen berbaur perkauman berhubung konsert terbabit.
Pemain hoki Malaysia, Hanis Onn, 26, menerima kecaman hebat dari netizen gara-gara mengeluarkan komen berbaur perkauman menerusi ruangan komen di hantaran Instagram Kosmo Online dengan menulis, ‘Bau best lah kat dalam tu’.
Tindakan Hanis yang dilihat secara berseloroh berkata sedemikian, nyata membuatkan rata-rata rakyat Malaysia mengkritik dirinya yang tidak tahu menjaga batas soal isu sensitif.
Malah, kemarahan netizen yang membara turut membuatkan sebilangan pihak menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengambil tindakan terhadap Hanis.
Namun, Hanis dilaporkan sudah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu terbabit menerusi akaun Instagram miliknya, lapor portal Hype.
Dalam permohonan maaf itu, Hanis yang juga merupakan Alumi Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menzahirkan rasa penyesalan atas kecuaian yang terjadi.
“Sepanjang 10 tahun penglibatan saya dalam sukan hoki, persekitaran saya dipenuhi dengan rakan-rakan berbilang kaum yang sentiasa berjuang untuk negara Malaysia.
“Dengan ini saya berasa menyesal di atas kecuaian dan penuh rasa kesedaran sekali lagi saya momohan jutaan kemaafan kepada yang terjejas,” tulisnya.
Tinjauan MEDIA VARIASI di Instagram mendapati Hanis telahpun menukarkan mode akaun sosial media miliknya kepada private mode selepas menerima kritikan pedas daripada warga maya atas kesilapannya berhubung isu terbabit.