HomeBeritaPolitikKJ akui 'dirisik' PN dan PH

KJ akui ‘dirisik’ PN dan PH

CYBERJAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengaku sudah ‘dirisik’ oleh Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) berhubung kemungkinan untuk beliau menyertai parti berkenaan selepas dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu enggan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya mahu mengambil masa selama beberapa minggu atau hingga dua tiga bulan sebelum menentukan sama ada memasuki parti sedia ada, menubuhkan parti baharu atau berehat daripada politik untuk seketika.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi pertimbangan adalah berkaitan aspirasi dan hala tuju sesebuah parti tersebut.

“Buat masa ini, pelbagai pihak telah menghubungi saya, daripada kedua-dua belah pihak. Saya mengambil sikap berjumpa dan mendengar semua pihak.

“Saya pun 23 tahun dalam UMNO. UMNO lah yang saya kenal, saya tidak kenal parti lain.

“Jadi, saya pun nak memahami dengan lebih mendalam apa aspirasi parti masing-masing.

“Setelah saya mendengar semua pandangan, barulah membuat keputusan sama ada saya masuk parti sedia ada atau membuat parti baharu atau saya berehat untuk seketika. Saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Selasa.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan mengesahkan Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, dipecat daripada UMNO.

Menurut Ahmad Maslan, kedua-dua individu terbabit dipecat parti disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO atas kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Author

Pilihan Editor