KUALA LUMPUR: Pengendali anjing atau dikenali sebagai handler di Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merupakan aset penting jabatan itu kerana kebijaksanaan dan kesabaran mereka dalam mengendalikan anjing di bawah seliaan masing-masing.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Unit K9 JBPM, H. Pramnath menyifatkan handler sebagai insan unik yang dapat menangani dan ‘membaca’ jiwa anjing sekali gus membentuk hubungan rapat dan terjalin kasih sayang antara haiwan itu dengan pengendali.
“Anjing-anjing ini dilatih, ia melibatkan psikologi iaitu psikologi terhadap anjing dan dapat membaca apa yang ada dalam ‘fikiran’ anjing, lantas menunjukkan keakraban anjing pengesan dan handler mereka. Proses membina hubungan ini perlukan masa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II Unit K9 JBPM, R. Chandran berkata handler perlu memiliki tahap kesabaran tinggi dalam mengendali dan melatih haiwan jagaan mereka itu.
Katanya kesabaran penting demi memastikan anjing di bawah seliaan mereka sihat dari segi jasmani dan ‘rohani’ serta menguatkan hubungan antara pengendali dan anjing.
“Contohnya, anjing ini diibaratkan seperti anak yang kecil yang kadangkala bersifat nakal. Apabila mereka buat nakal, kita harus bersabar dan tidak mungkin kita akan memukulnya sewenang-wenangnya kerana mereka masih muda dan tidak tahu apa yang betul dan salah.
“Anjing pun ada masanya akan berbuat sesuatu yang kita sendiri tidak suka. Jangan kita pukul tetapi harus menyayangi, berkawan dengan mereka, barulah terjalin ikatan erat kasih sayang antara handler dan anjing, sekali gus memudahkan urusan ketika melaksanakan latihan dan tugasan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata, kepentingan kesetiaan dan kepatuhan anjing kepada pengendalinya amat diperlukan dalam sesuatu tugasan seperti dibuktikan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm di Batang Kali, Disember lepas, apabila kira-kira 50 peratus mangsa ditemukan oleh anjing pengesan.
Katanya, penggunaan unit anjing pengesan K9 JBPM itu juga menjimatkan masa dan mengecilkan skop pencarian mangsa.
“Apabila menggunakan khidmat anjing pengesan, kita dapat kurangkan usaha cari gali dalam operasi SAR menggunakan tenaga manusia di kawasan tanah runtuh. Anjing-anjing ini memainkan peranan penting,” katanya.
Dalam pada itu, Pramnath berkata, anjing-anjing Unit K9 menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali bagi memastikan haiwan itu berada pada tahap prestasi terbaik ketika menjalankan tugasan.
Bagaimanapun, beliau berkata, ketika SAR di Batang Kali, pihaknya memohon Jabatan Veterina membantu menilai tahap kesihatan haiwan itu memandangkan ia melibatkan tempoh operasi yang panjang iaitu selama sembilan hari.
Katanya sebelum anjing pengesan ditugaskan untuk SAR, Jabatan Veterina akan menilai tahap kesihatan haiwan itu dari segi kecergasan dalaman dan luaran mereka.
“Selepas SAR, doktor veterinar akan membuat pemeriksaan semula bagi memastikan anjing itu berada dalam keadaan sihat dan mampu digunakan bagi operasi seterusnya, seperti memeriksa fizikal anjing jika terdapat sebarang parasit yang hinggap di badannya,” katanya. – BERNAMA