HomeBeritaPolitikPrestasi Hajiji tambah kekayaan Sabah punca sokongan kekal

Prestasi Hajiji tambah kekayaan Sabah punca sokongan kekal

KAJANG: Prestasi Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2020 dalam mengembalikan kekayaan di Sabah antara faktor sokongan PH dan BN terus diberikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selama ini kadar pendapatan di Sabah hanyalah RM4 bilion setahun dan tidak berubah selama 10 tahun sebelum Hajiji dilantik Ketua Menteri.

“Sebaik sahaja beliau dilantik pada September 2020 menerusi Sabah Maju Jaya dalam tempoh setahun iaitu pada 2021, kali pertama memecahkan angka itu dengan berjaya tembusi RM5.4 bilion dan pada tahun 2022, pendapatan Sabah meningkat ke RM6.6 bilion.

“Saya berharap wakil-wakil rakyat pada lihat apabila ada Ketua Menteri yang ada hala tuju, perancangan dan keyakinan yang jelas, ramai pelabur mahu menjalankan perniagaan di Sabah.

“Ada yang komited mahu masukkan pelaburan RM12 bilion ke Sabah, jika kita mahu melakukan perubahan, kita perlu fokus kepada agenda masyarakat dengan meningkatkan hasil kembalikan kepada rakyat,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja pertama ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di sini hari ini.

Tambah Armizan, sebagai wakil dari Sabah, kebertanggungjawaban mematuhi Perlembagaan negeri Sabah, tatacara, prosedur, operasi di sebuah kerajaan.

“Apa yang berlaku di Sabah, bukanlah pembentukan kerajaan baharu tetapi kerajaannya sudah sedia ada.

“Ada yang zahirkan tidak percaya namun ada pihak yang zahirkan kepercayaan kepada Hajiji dan jumlahnya lebih daripada minimum dan kerajaan telah berfungsi dengan sokongan majoriti.

“Komposisi Kabinet dibentuk dengan kemasukan tiga ahli jemaah baharu, Kabinet sekarang ini sudah well presented sebab sudah ada wakil Cina dari Sabah dalam Kabinet Sabah.

“Sabah perlukan united and working Cabinet dan itu cukup penting, perlu teruskan mandat yang diberi oleh rakyat, bekerja keras untuk membawa perubahan yang lebih baik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut politik di Sabah yang menyaksikan pemimpin parti-parti politik di negeri itu masing-masing menyuarakan pandangan berbeza mengenai kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Timbalan Ketua Menteri, mengumumkan keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan Sabah kerana hilang kepercayaan kepada Hajiji.

Namun Hajiji berjaya memperoleh 44 sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah wakil dari PH, GRS dan UMNO-BN, yang melayakkannya kekal sebagai Ketua Menteri.

 

Author

Pilihan Editor