KUALA LUMPUR: Januari tahun baharu, didedahkan pelbagai isu ‘penyondol’ rumah tangga pasangan artis dan selebriti sehingga kini, namun jika bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Selepas isu pengarah terkenal dan jurulatih bola sepak negara, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah pula mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuklah dakwaan rumah tangga yang didakwa diganggu orang ketiga sepanjang menyertai program realiti, Famili Duo.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah mendedahkan ada pelakon wanita cuba untuk mendekati suaminya yang juga pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, baru-baru ini.
Lebih mengejutkan apabila Bella mendedahkan pengakuan berani wanita itu yang juga heroin drama menyatakan dirinya bodoh dan meminta maaf kerana tersuka suaminya.
Bella menyifatkan tindakan wanita itu dilihat kurang bijak namun tetap menghubungi suaminya setiap hari.
“”Saya tengok hari-hari ada ‘missed call’ dan sebagainya yang saya rasa tidak perlu. Bella risau kejadian lama berulang kembali.
“Saya tak tahu nombor telefon siapa. Bila saya dapatkan nombor daripada seorang rakan artis, saya tengok nombor ni sama. So, it’s her,” katanya kepada media.
Jelas Bella, wanita itu turut mengakui dirinya masih baharu dalam industri tetapi Bella menafikannya kerana mengenalinya.
Bagaimanapun, Bella sempat menitipkan pesanan kepada heroin itu supaya menjaga adab apabila bekerja dengan suami orang kerana Bella sendiri pernah bergandingan dengan suami orang dan tidak berlaku isu penyondol melibatkannya.
“Saya cukup marah sebab saya sendiri pernah berlakon dengan suami orang Zamarul Hisham, saya tak pernah berhubung dengan dia,” katanya.
Bella yang juga ibu dua cahaya mata, pernah memuat naik hantaran membabitkan wanita yang suka mendekati suami orang di Instagramnya sebelum ini.
Selain itu, Bella turut dilihat memuat naik hantaran di Instastory berhubung ‘perempuan murahan’ dan ‘pelacur’.
Susulan daripada itu, netizen mendakwa ada orang cuba menganggu rumah tangga Bella dengan Aliff.
Untuk rekod, Bella Astillah ketika ini sedang sibuk berentap di pentas Famili Duo bersama Wani Kayrie dan sudah layak ke final program tersebut.
Aliff Aziz pula bakal muncul dalam drama terbaharu di TV3 di slot Akasia bergandingan dengan pelakon cantik, Sophia Albarakbah.