HomeNiagaPerjalanan Lautan Variasi menuju IPO

Perjalanan Lautan Variasi menuju IPO

CYBERJAYA: Tersenarai di Bursa Malaysia adalah impian setiap syarikat yang sedang berkembang maju namun laluan untuk mencapainya bukanlah mudah.

Itulah yang diimpikan oleh Lautan Variasi Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) berlesen sejak 2016, yang kini hanya selangkah untuk menerbitkan tawaran awam awal (IPO).

Syarikat yang diperbadankan perniagaannya pada Ogos 2015 itu menyediakan pengendali perkhidmatan Telekomunikasi dan Rangkaian Jalur Lebar berlesen sepenuhnya yang menggunakan terminal aperture yang sangat kecil (VSAT) iaitu stesen bumi dua hala yang menghantar dan menerima data daripada satelit.

Pengasas dan Pengarah Urusan Lautan Variasi, Datuk Syed Nasir Hussin Syed Peer berbesar hati berkongsi perjalanannya mendaki kejayaan daripada eksekutif pengurusan tinggi korporat sehinggalah beliau mengendalikan kumpulan syarikat yang sememangnya satu pencapaian yang memberangsangkan.

Menurut beliau, aspirasi Lautan Variasi adalah untuk menjadi penyumbang utama dalam sektor telekomunikasi dan ICT bagi merapatkan jurang digital dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar dan internet menggunakan teknologi satelit VSAT.

“Lautan Variasi bersedia untuk menjadi syarikat tersenarai dan didagangkan awam di Bursa Malaysia, ini adalah satu peristiwa penting yang kami amat teruja untuk dikongsi bersama. Selama lima tahun kami meniti perjalanan itu, dan kami tahu bahagian terbaik pasti akan tiba.

“Sama ada anda dari sektor perkhidmatan atau syarikat pengeluaran atau syarikat kerajaan negeri (GLC) yang mencari cara untuk meningkatkan prestasi keterhubungan, kami berbesar hati membantu anda terus berhubung untuk menjadikan perniagaan atau rumah anda bermakna,” katanya.

Pihak pengurusan Lautan Variasi ketika menandatangani dokumen perjanjian dengan Total Communication.

Menurutnya lagi, Lautan Variasi secara dasarnya telah mengubah cara menyediakan keterhubungan dan merapatkan jurang digital.

“Kami adalah peneraju dalam kategori yang sedang berkembang pesat ini.

“Produk dan perkhidmatan Lautan Variasi membantu individu dan organisasi kekal terhubung dan bertindak mengikut pandangan yang mampu membawa kejayaan.

“Kami kini mempunyai lebih 200 pengguna aktif meliputi domain organisasi yang pelbagai, termasuk 82 peratus daripada GLC.

“Dalam barisan perkhidmatan individu, pasukan dan perusahaan kami, platform kami mengubah rasa ingin tahu kepada tindakan,” ujar Syed Nasir.

 

Lautan Variasi terus berkembang dan meningkat nilainya

 

Syed Nasir turut berkongsi bagaimana perniagaannya itu berkembang dengan amat memberangsangkan walaupun menghadapi cabaran COVID-19.

Menurutnya, Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) 2019 sehingga 2020 bagi Lautan Variasi meningkat dengan purata 218 peratus.

Sementara itu, operasi perniagaannya mencatatkan peningkatan sebanyak 35 peratus Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA).

“Kami di Lautan Variasi melabur secara konsisten dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

“Aliran ini dipacu pada tahun 2019 dengan lebih banyak perbelanjaan untuk penawaran produk dan perkhidmatan yang inovatif dalam ruang ICT, agar konsisten dengan matlamat margin operasi kami.

“Setakat ini kami membelanjakan lebih RM25 juta dan terdapat banyak ruang untuk lebih banyak pelaburan dalam perkhidmatan berasaskan telekomunikasi dan IT,” kata beliau.

Pihak pengurusan Lautan Variasi bersama-sama dengan pihak pengurusan GeoInfo Services, IntecX Creations dan Total Communications.

Syed Nasir seterusnya berkongsi pencapaian terkini Lautan Variasi yang merupakan sebahagian daripada perjalanan kepelbagaian dan pengembangannya.

Antaranya ialah mendapatkan beberapa projek konsesi berprestij di Malaysia dan di pasaran antarabangsa, serta memperkenalkan beberapa tempat pasaran aplikasi super yang inovatif bagi melengkapkan industri perkhidmatan menjelang akhir 2023.

“Untuk menyokong pertumbuhan syarikat, baru-baru ini kami telah terlibat secara aktif dalam penggabungan dan pengambilalihan. Setakat ini kami telah mengambil alih tiga syarikat.

“Tiga syarikat tersebut ialah GeoInfo Services Sdn Bhd; IntecX Creations Sdn Bhd dan Total Communications Sdn Bhd,” katanya.

GeoInfo Services merupakan sebuah syarikat yang mengkhusus dalam perkhidmatan Geospasial dan Pemetaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) sejak tahun 1998.

IntecX Creations pula adalah sebuah syarikat pembangunan perisian yang pakar dalam persekitaran sumber terbuka dan aplikasi mudah alih.

Manakala Total Communications adalah sebuah syarikat perniagaan sejak 1995 yang menyediakan produk dan perkhidmatan kejuruteraan berprestasi tinggi serta boleh dipercayai dalam satelit, gelombang mikro serta bidang komunikasi dan jalur lebar tanpa wayar.

“Pengambilalihan tersebut adalah sejajar dengan pengembangan kami dalam ICT, pada masa yang sama mengukuhkan keupayaan kami dalam memberi perkhidmatan kepada projek konsesi kami.

“Lautan Variasi kini mempunyai kira-kira 100 pekerja dan menjelang akhir 2023 kami akan mempunyai lebih daripada 500 pekerja. Dengan pengembangan ini, kami menyasarkan untuk mewujudkan lebih daripada 2000 peluang pekerjaan dan perniagaan menjelang 2024,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syed Nasir juga menubuhkan sebuah syarikat media, Lautan Variasi Media Sdn Bhd (Media Variasi) pada tahun 2022, untuk mengutarakan suara rakyat dalam isu-isu penting dalam kehidupan mereka.

 

Hala tuju perancangan masa hadapan

 

Selain syarikat-syarikat tersebut, Lautan Variasi juga dalam perancangan menambah syarikat lain daripada sektor pendidikan dan infrastruktur awam dalam penggabungan dan pengambilalihannya.

Sebagai persediaan untuk menjadi syarikat ‘unicorn’ yang seterusnya, Lautan Variasi juga merancang untuk membeli sebidang tanah sebagai pusat data dan teknologi maklumat (IT), hab satelit, serta ibu pejabat.

“Kini dengan projek yang semakin meningkat, Lautan Variasi, telah memuktamadkan perjanjian pembelian tanahnya untuk menyediakan stesen dan hab Satelit Bumi menjelang awal 2023 dengan teknologi rakan kongsi strategik kami.

“Lautan Variasi yang bakal menjadi syarikat ‘unicorn’ bersedia untuk menguar-uarkan penyenaraian di pasaran saham Bursa selewat-lewatnya menjelang Suku Kedua 2024, di mana penyenaraian ini akan membantu pelaburan dalam penubuhan infrastruktur telekomunikasi, tenaga kerja dan modal kerja,” kata Syed Nasir.

Syed Nasir turut membuat tawaran kepada pelabur-pelabur awal di luar sana untuk merebut peluang penting ini sebelum Lautan Variasi memulakan perjalanan sebagai syarikat awam.

“Jika anda adalah syarikat teknologi daripada bidang ICT, kami amat berbesar hati untuk menerima anda dengan tangan terbuka kerana ia menambah nilai bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga membawa masuk kekuatan teknologi dan sumber yang dioptimumkan untuk bekerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi untuk projek terjamin pada masa depan,” pesan beliau.

Author

Pilihan Editor