JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM10,000, kepada majikannya beberapa tahun lepas.
Menurut sumber, wanita berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 10 pagi tadi, selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor di sini.
“Difahamkan, pada 2017 hingga 2019, suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada GLC terbabit berkaitan pelaksanaan program di sebuah daerah di negeri itu, sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu.
Azmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, beliau berkata wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM. – BERNAMA