HomeHiburanPoligami yang pecah belah bukan sunnah - Ibu Syamsul

Poligami yang pecah belah bukan sunnah – Ibu Syamsul

KUALA LUMPUR: Ibu pengarah kontroversi terus meluahkan rasa hati di Instagramnya, berkait dengan krisis rumah tangga Syamsul Yusof dan menantunya, Puteri Sarah Liyana yang melibatkan orang ketiga.

Menerusi hantaran di Instastory, Datin Patimah Ismail memuat naik petikan daripada sebuah majalah tentang poligami merujuk pernikahan anaknya, Syamsul dengan Ira Kazar.

“Islam tidak menyuruh berkahwin lebih daripada seorang, tetapi membenarkannya.

“Poligami yang memecahbelahkan itu bukan mengikut sunnah,” tulisnya.

Sebelum ini, Patimah dilihat antara individu paling lantang menyuarakan sokongan terhadap tindakan Puteri Sarah dalam menangani kemelut rumah tangga bersama Syamsul.

Isteri penerbit terkemuka, Datuk Yusof Haslam itu menjadi perhatian selepas kerap memberikan reaksi balas dalam media sosial berhubung isu anak menantunya.

Yusof pula dilaporkan enggan lagi mengeluarkan sebarang kenyataan kerana mendakwa sering diputar belit.

Puteri Sarah bagaimanapun mempertahankan tindakan ibu mentua itu, yang meluahkan kritikan ‘panas’ terhadap konflik rumah tangganya dengan Syamsul, biarpun dikecam netizen.

Puteri Sarah mendakwa, ada sebab ibu mentuanya bertindak begitu, kerana keluarga sebelah sana dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) sahaja yang tahu kejadian yang sebenar berlaku.

Pada Isnin lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan perceraian terhadap Syamsul di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini.

Tarikh sebutan kes permohonan cerai itu ditetapkan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 7 Mac depan, iaitu secara kebetulan, sehari sebelum ulang tahun kesembilan perkahwinan mereka.

Konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Selepas diasak beberapa kali oleh Puteri Sarah, akhirnya Syamsul meleraikan spekulasi apabila mengesahkan sudah berkahwin dengan anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi iaitu Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu.

Author

Pilihan Editor